WASHINGTON: Google mencapai persetujuan dengan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon) untuk membenarkan sistem kecerdasan buatan (AI) miliknya digunakan bagi tugasan ketenteraan sulit.
Keputusan ini dicapai meskipun mendapat tentangan hebat dan protes daripada para penyelidik syarikat itu sendiri.
Jurucakap Google yang merupakan anak syarikat Alphabet memaklumkan kepada Bloomberg News syarikat itu telah meminda kontraknya dengan Pentagon.
Walaupun butiran lanjut perjanjian masih samar, pindaan itu merangkumi penyediaan akses API yang membolehkan agensi tersebut berhubung terus dengan perisian Google, namun ia tidak melibatkan pembangunan model atau kerja-kerja khusus.
“Kami percaya menyediakan akses API kepada model komersial kami termasuk melalui infrastruktur Google dengan amalan dan terma standard industri merupakan satu pendekatan yang bertanggungjawab dalam menyokong keselamatan negara,” kata jurucakap syarikat itu dalam satu kenyataan.
Pihak Google turut menegaskan komitmen mereka terhadap konsensus sektor awam dan swasta bahawa AI tidak sepatutnya digunakan untuk pengawasan am domestik atau persenjataan autonomi tanpa pemantauan manusia yang sewajarnya.
Pindaan kontrak ini merupakan kejayaan baharu dalam kerjasama Google dengan Pentagon yang sebelum ini sering dicemari dengan protes kakitangan.
Terbaharu pada Isnin lalu, ratusan penyelidik AI menghantar surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif Alphabet, Sundar Pichai, mendesak beliau agar tidak menyediakan sistem AI syarikat bagi tugasan sulit misi pertahanan AS.
“Kami adalah pekerja Google yang sangat bimbang dengan rundingan yang sedang berjalan. Sebagai individu yang membina AI, kami tahu sistem ini boleh memusatkan kuasa dan sistem ini juga tidak lari daripada melakukan kesilapan,” petikan surat tersebut seperti yang dilaporkan Bloomberg.
Ia bukan kali pertama kakitangan Google bangkit memprotes. Pada tahun 2018, bantahan serupa berlaku membabitkan Project Maven, inisiatif Pentagon yang menggunakan AI untuk menganalisis rakaman dron.
Ekoran protes tersebut, Google sebelum ini berjanji untuk tidak menghasilkan senjata atau teknologi lain yang berpotensi memudaratkan.
Walaupun pada asalnya Google menyatakan penglibatan dalam Project Maven adalah bagi tujuan bukan serangan, syarikat itu akhirnya memutuskan untuk tidak memperbaharui kontrak tersebut selepas bimbang teknologi itu boleh membawa kepada hasil yang membawa maut.










