Dunia tagih komitmen gencatan senjata AS-Iran

Dunia tagih komitmen gencatan senjata AS-Iran

RAKYAT Iran bersorak meraikan pengumuman gencatan senjata di dataran Enqelab di Teheran kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Amerika Syarikat (AS) dan Iran bersetuju dengan gencatan senjata dua minggu, kurang sejam sebelum tarikh akhir Presiden, Donald Trump untuk memusnahkan negara itu mencetuskan kelegaan global.

Walaupun pengumuman itu disambut baik di peringkat antarabangsa, masih banyak usaha diperlukan bagi mengelakkan konflik sama berulang.

Amaran turut dilaporkan di Arab Saudi, Bahrain dan Kuwait, menonjolkan kekeliruan dan ketidakstabilan yang menyelubungi gencatan senjata.

SETIAUSAHA AGUNG PBB

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menggesa semua pihak untuk membuka jalan ke arah keamanan berkekalan dan menyeluruh.

Menurut jurucakapnya, Stephanie Dujarric, Guterres turut menyeru semua pihak yang terlibat dalam konflik semasa di Asia Barat untuk mematuhi tanggungjawab mereka di bawah undang-undang antarabangsa dan mematuhi syarat gencatan senjata.

“Setiausaha Agung mengalu-alukan pengumuman gencatan senjata dua minggu oleh AS dan Iran,” kata Dujarric dalam kenyataan kelmarin.

Beliau turut menegaskan, penamatan permusuhan sangat diperlukan bagi melindungi orang awam dan mengurangkan penderitaan manusia, selain merakamkan penghargaan kepada Pakistan serta negara lain yang membantu memudahkan gencatan senjata itu.

SEPANYOL

Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares menyifatkan tindakan Israel meneruskan pencerobohan ke atas Lubnan sebagai tidak dapat diterima sama sekali, walaupun AS dan Iran bersetuju gencatan senjata dua minggu bagi menghentikan perang serantau sebagai langkah yang tidak boleh diterima sama sekali.

“Semua konflik mesti dihentikan dan ini harus termasuk Lubnan. Tidak wajar sama sekali untuk membiarkan perang Israel dan pencerobohannya ke atas sebuah negara berdaulat seperti Lubnan terus berlaku,” katanya kepada radio awam RNE.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez turut menyambut gencatan senjata AS-Iran sebagai berita baik tetapi menegaskan negaranya tidak akan memuji mereka yang mencetuskan masalah kemudian berpura‑pura membantu menyelesaikannya.

ARAB SAUDI

Arab Saudi menyokong gencatan senjata dua minggu yang dicapai antara AS dan Iran, sambil menyeru perjanjian menyeluruh untuk mengembalikan kestabilan di rantau itu.

“Kami berharap gencatan senjata ini menjadi peluang untuk mencapai penurunan ketegangan secara menyeluruh dan berkekalan, meningkatkan keselamatan rantau ini serta memastikan sebarang serangan atau dasar yang menjejaskan kedaulatan, keselamatan dan kestabilan negara-negara di rantau ini dihentikan,” kata kementerian luar Arab Saudi.

CHINA

China  menekankan peranannya dalam mendorong perjanjian antara AS dan Iran untuk menghentikan permusuhan selama dua minggu.

Trump memberitahu AFP pada Selasa beliau percaya China, yang berusaha menjadi pengantara sejak konflik bermula, memainkan peranan membawa Iran ke meja rundingan.

“Kami berulang kali memperkenalkan usaha-usaha yang dilakukan oleh China. Menteri Luar, Wang Yi juga mengadakan 26 panggilan dengan rakan sejawat dari negara berkaitan, manakala utusan China bagi Asia Barat bergerak merentas rantau yang dilanda perang itu.

“Beijing akan terus berusaha untuk meredakan situasi dan menghantikan perang sepenuhnya,” kata jurucakap kementerian luar China, Mao Ning dalam sidang media semalam.

IRAQ

Kementerian Luar Iraq juga menegaskan AS dan Iran perlu komited terhadap perjanjian itu bagi mencapai penyelesaian berkekalan.

“Kementerian menegaskan sokongan terhadap usaha serantau dan antarabangsa untuk membendung krisis serta mengutamakan dialog dan diplomasi, sambil menekankan keperluan komitmen penuh terhadap gencatan senjata serta mengelakkan sebarang peningkatan,” kata kenyataan kementerian itu.

Iraq turut terheret dalam konflik AS-Israel dengan Iran, apabila kumpulan yang disokong Teheran dan tentera AS saling berbalas serangan dalam kitaran keganasan yang semakin memuncak.

MESIR

Kementerian Luar Mesir berkata, gencatan senjata itu merupakan peluang penting dan perlu dimanfaatkan bagi membuka ruang rundingan dan diplomasi serta dialog membina.

Dalam kenyataan di Facebook, kementerian itu menegaskan gencatan senjata perlu diperkukuh dengan komitmen penuh untuk menghentikan operasi ketenteraan dan menghormati kebebasan pelayaran antarabangsa.

Kenyataan itu turut menyebut Mesir akan meneruskan usaha bersama Pakistan serta Turkiye untuk memperkukuh keselamatan dan kestabilan di rantau itu, selain menegaskan rundingan antara AS dan Iran perlu mengambil kira kebimbangan keselamatan sah negara-negara Teluk.

OMAN

Kementerian Luar Oman turut menyambut baik pengumuman tersebut dan menghargai usaha Pakistan serta semua pihak yang menyeru penamatan perang.

“Kami menegaskan kepentingan memperhebat usaha untuk penyelesaian yang dapat menamatkan krisis dari akar umbi serta mencapai penamatan kekal terhadap perang serta permusuhan di rantau itu,” katanya dalam hantaran di X.

UKRAINE

Ukraine juga menyokong gencatan senjata antara AS dan Iran serta pembukaan semula Selat Hormuz, dengan Menteri Luar, Andrii Sybiha, menggesa tindakan tegas sama oleh Washington bagi menghentikan perang Russia di negaranya.

“Ketegasan Amerika berhasil. Kami percaya sudah tiba masanya untuk ketegasan sama bagi memaksa Moscow menghentikan serangan dan menamatkan perang terhadap Ukraine,” katanya di X.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×