Askar AS ditangkap bertaruh tangkap presiden Venezuela - Utusan Malaysia

Askar AS ditangkap bertaruh tangkap presiden Venezuela

MADURO ditangkap tentera AS Januari lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Seorang anggota tentera Amerika Syarikat (AS) berdepan pertuduhan kerana menggunakan maklumat sulit untuk bertaruh dalam pasaran ramalan dalam talian berkaitan operasi AS untuk menangkap bekas presiden Venezuela, Nicolas Maduro, menurut pihak berkuasa.

Menurut Jabatan Keadilan AS,, anggota Tentera Darat Amerika, Gannon Ken Van Dyke, 38, didakwa memperoleh lebih AS$400,000 (RM1.5 juta) dengan menggunakan platform dalam talian Polymarket.

Dia  bertaruh mengenai hasil operasi ketenteraan AS di Caracas dan penyingkiran Maduro.

Tentera AS melancarkan serangan ke atas Caracas pada 3 Januari, menahan Maduro dan isterinya, Cilia Flores, sebelum membawa mereka ke New York untuk menghadapi pertuduhan berkaitan dadah.

Pemangku Peguam Negara AS, Todd Blanche berkata, anggota tentera yang diberi kepercayaan dengan maklumat sulit tidak dibenarkan menggunakannya untuk keuntungan peribadi.

Platform Polymarket dalam kenyataan berasingan berkata, pihaknya telah mengesan aktiviti tersebut, melaporkannya kepada pihak berkuasa dan bekerjasama dalam siasatan dan menyatakan bahawa dagangan orang dalam tidak dibenarkan.

Van Dyke kini berdepan beberapa pertuduhan termasuk penipuan wayar, transaksi kewangan haram dan pelanggaran undang-undang perdagangan komoditi. Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara yang panjang.

Kes ini merupakan antara contoh terkini penggunaan maklumat dalaman untuk tujuan pertaruhan berkaitan tindakan kerajaan. 

Awal tahun ini, beberapa akaun di Polymarket dilaporkan meraih keuntungan besar selepas bertaruh bahawa Amerika akan menyerang Iran sebelum konflik bermula.

Presiden Donald Trump turut mengulas bahawa fenomena pertaruhan terhadap peristiwa dunia kini semakin meluas dengan menyatakan beliau tidak begitu menyokong amalan tersebut. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN