Misteri pemimpin tertinggi baharu Iran - Utusan Malaysia

Misteri pemimpin tertinggi baharu Iran

SEORANG wanita Iran memegang gambar Mojtaba Khamenei ketika berkumpul di Masjid Imam Khomeini bagi memperingati mereka yang terkorban dalam peperangan di Teheran, Iran- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN/WASHINGTON: Miste­ri terus menyelubungi Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Setiausaha Negaranya, Marco Rubio secara terbuka memberi bayangan beliau kini aktif mengambil bahagian dalam urusan pentadbiran negara.

Khamenei, 56, tidak pernah muncul di khalayak sejak pelantikannya pada 8 Mac lalu, namun pegawai kanan AS kini berkata, beliau semakin terlibat dalam urusan negara dan mencetuskan persoalan baharu mengenai siapakah sebenarnya yang meme­gang kuasa di Teheran.

TIADA KEMUNCULAN AWAM

Tiada gambar baharu dikeluarkan, keadaan kesihatannya masih tidak jelas. Beliau cedera dalam serangan AS-Israel pada 28 Februari lalu di kediaman bapanya, Ayatollah Ali Khamenei di Teheran yang ketika itu pemimpin tertinggi Iran namun beliau terkorban.

Seorang pegawai Kementerian Kesihatan Iran pernah berkata bahawa kecederaan yang dialami oleh Khamenei hanyal  kecedera­an ringan.

Pada Mac lalu, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, berkata, Khamenei dipercayai masih hidup, tetapi cedera dan mengalami kecacatan fizikal.

“Saya fikir terdapat petunjuk bahawa beliau semakin terlibat pada tahap tertentu,” kata Rubio kepada Jawatankuasa Hubungan Luar Dewan Senat dan menambah semua komunikasi daripada Khamenei setakat ini hanya disam­paikan melalui mesej bertulis dan orang tengah.

Trump pula pergi lebih jauh apabila memberitahu wartawan pada Rabu bahawa Khamenei sememangnya terlibat dalam perbincangan yang sedang berlangsung.

Kenyataan mereka merupakan antara petunjuk awam paling jelas setakat ini tentang pemimpin tertinggi Iran itu sedang berkuasa walaupun kekal hampir tidak kelihatan di mata umum.

Pegawai-pegawai Iran mela­por­kan mereka sudah mengada­kan pertemuan dengan pemim­pin tertinggi baharu itu. Presiden Iran, Masoud Pezeshkian dan Komander Kanan Tentera, Jene­ral Ali Abdollah berkata, mereka bertemu beliau dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Bagaimanapun, tiada gambar atau rakaman video dikeluarkan bagi kedua-dua pertemuan itu. Khamenei juga mengeluarkan lebih 12 kenyataan bertulis sejak mengambil alih jawatan.

Mesej terbaharunya yang men­gecam AS dan Israel dibacakan pada Khamis dalam satu majlis memperingati ulang tahun kematian pengasas Republik Islam Iran, Ayatollah Ruhollah Khomeini.

Namun, tidak seperti bapanya yang kerap menghadiri acara sedemikian, Khamenei tetap tidak muncul.

Penganalisis juga percaya Te­heran mungkin sengaja men­gekalkan beliau di luar perhatian umum. Ini  kerana terdapat kebimbangan bahawa beliau boleh menjadi sasaran serangan. Ketia­daannya yang berpanjangan men­cetuskan spekulasi mengenai tahap kesihatan dan sama ada beliau secara fizikal mampu me­laksanakan kuasa seperti bapanya.

PERANAN DALAM PENTADBIRAN

Pakar Politik Universiti Ottawa, Kanada, Thomas Juneau berkata, Khamenei tidak memiliki autoriti bapanya dan keupayaan untuk mengimbangi pelbagai pusat kuasa yang bersaing dalam sistem politik Iran.

Pihak lain pula menunjukkan kepada pengaruh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) yang semakin meningkat. Beberapa penganalisis berpendapat kumpulan tidak rasmi yang terdiri daripada komander tentera dan ahli politik kanan mungkin kini mempunyai pengaruh hari­an yang lebih besar berbanding pe­mimpin tertinggi itu.

Pakar Iran dari Institut Pengajian Siswazah Geneva, Switzerland, Farzan Sabet percaya Khamenei kemungkinan membantu mengawasi hala tuju dasar secara umum, termasuk kedudukan rundingan Iran dengan AS, namun masih belum terlibat secara mendalam dalam proses membuat keputusan seperti bapanya dahulu.

Walaupun wujud ketidakpastian, pihak berkuasa Iran dilihat berusaha mempamerkan kestabilan.

Papan iklan besar di seluruh Teheran memaparkan imej Ayatollah Ruhollah Khomeini, Ayatollah Ali Khamenei dan anaknya itu secara bersebelahan sebagai simbol kesinambungan kepimpinan Republik Islam itu.

Persoalan utama kini bukan lagi sama ada Khamenei masih hidup. Sebaliknya, adakah pemimpin tertinggi Iran yang jarang dilihat itu sedang secara beransur-ansur mengukuhkan kuasa atau sistem politik pasca perang negara itu sedang berubah kepada struktur kuasa yang lebih dikongsi bersama IRGC dan pusat pengaruh lain.

Tidak seperti bapanya, seorang penentang terkenal pemerintah Iran, Shah Iran yang pernah menjadi presiden dalam dekad pertama Republik Islam dari 1981 hingga 1989 sebelum menjadi pemimpin tertinggi. Namun, anaknya itu pula sebelum ini tidak pernah memegang sebarang jawatan kerajaan.

PENGARUH DALAM KEPIMPINAN

Namun pemerhati percaya beliau sebenarnya merupakan individu kedua paling berpengaruh dalam pejabat pemimpin tertinggi di bawah ketua pejabat Khamenei yang berpengaruh, Mohammad Golpayegani.

Beliau juga dilihat mempu­nyai hubungan rapat dengan ke­pimpinan IRGC. Hubungan yang dipercayai memainkan peranan penting dalam pemilihannya oleh badan ulama Majlis Pakar.

Salah satu gambaran rasmi yang jarang diperoleh mengenai kepentingan Khamenei muncul pada November 2019 apabila Perbendaharaan AS mengumumkan sekatan terhadap beliau dan beberapa pegawai kanan Iran lain, termasuk Golpayegani, atas alasan mereka menyebarkan agenda radikal Iran ke seluruh dunia.

Perbendaharaan AS ketika itu berkata, Khamenei dikenakan sekatan kerana mewakili bapa­nya dalam kapasiti rasmi. Ia berlaku walaupun tidak pernah di­pilih atau dilantik ke mana-mana jawatan kerajaan selain bekerja di pejabat bapanya. – AFP/AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN