ISTANBUL: Seorang remaja berusia 14 tahun yang bersenjata dengan lima pucuk senjata api melepaskan tembakan di sebuah sekolah di Turkiye pada Rabu, mengorbankan sembilan orang dan mencederakan 13 yang lain.
Kejadian itu mencetuskan suasana huru-hara apabila para pelajar melompat keluar dari tingkap untuk menyelamatkan diri.
Serangan di wilayah selatan Kahramanmaras itu merupakan insiden kedua seumpamanya di Turkiye dalam tempoh dua hari berturut-turut, mengejutkan sebuah negara di mana kejadian tembakan di sekolah jarang berlaku.
Menteri Dalam Negeri, Mustafa Ciftci, mengesahkan sembilan kematian dengan 13 mangsa cedera, enam daripadanya dirawat di unit rawatan rapi dan tiga dalam keadaan kritikal.
Beliau menggambarkan penyerang sebagai pelajar tingkatan lapan berusia 14 tahun.
“Seorang pelajar datang ke sekolah dengan senjata api yang kami percaya milik bapanya di dalam beg galasnya. Dia memasuki dua bilik darjah dan melepaskan tembakan secara rambang, menyebabkan kecederaan dan kematian,” kata Gabenor wilayah Kahramanmaras, Mukerrem Unluer,.
Rakaman video dramatik yang dirakam oleh seorang penduduk bangunan berhampiran dan disahkan oleh AFP menunjukkan pelajar melompat dari tingkap tingkat satu sekolah untuk melarikan diri daripada tembakan.
Dalam rakaman itu, puluhan yang lain melarikan diri melalui kawasan halaman sekolah.
Kira-kira 15 das tembakan boleh didengar dalam video berdurasi satu minit setengah itu.
Unluer berkata, penyerang ialah anak kepada bekas pegawai polis, bersenjata dengan lima pucuk senjata api dan tujuh kelopak peluru. Dia maut semasa kejadian itu.
“Dia menembak dirinya sendiri. Masih belum jelas sama ada ini bunuh diri atau berlaku dalam keadaan huru-hara,” katanya.
Polis telah menahan bapa penembak, Ugur Mersinli dan ibunya, menurut agensi berita rasmi Anadolu.
Rakaman yang dikeluarkan oleh agensi berita swasta DHA menunjukkan seorang mangsa di dalam beg mayat, selain ibu bapa pelajar bergegas ke lokasi kejadian, sebahagiannya dalam keadaan menangis, di bandar utama wilayah selatan itu, Kahramanmaras.
Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pendidikan telah bergegas ke bandar itu, manakala Menteri Kehakiman, Akin Gurlek, berkata, pihak pendakwa raya telah melancarkan siasatan segera terhadap kejadian tembakan itu.
Kejadian tembakan ini berlaku sehari selepas seorang bekas pelajar melepaskan tembakan menggunakan senapang patah di bekas sekolah menengahnya di daerah Siverek, wilayah Sanliurfa, di tenggara negara itu.
Penyerang itu mencederakan 16 orang sebelum membunuh dirinya sendiri dalam konfrontasi dengan polis. Sepuluh pelajar adalah antara mangsa yang cedera.
Polis menahan seorang suspek selepas serangan hari Selasa dan menggantung tugas empat pegawai. Sekolah itu diarahkan tutup selama empat hari. – AFP










