LIMA: Menteri Luar Peru, Hugo de Zela dan Menteri Pertahanan, Carlos Diaz meletakkan jawatan pada Rabu sebagai bantahan terhadap keputusan presiden sementara untuk menangguhkan perjanjian bernilai AS$3.5 bilion (RM14 bilion) bagi pembelian 24 pesawat pejuang F-16 dari Amerika Syarikat (AS).
Peletakan jawatan mengejut itu menambah lagi ketidakstabilan yang melanda negara Amerika Selatan tersebut, selepas pilihan raya terbaru untuk memilih presiden kesembilan dalam tempoh sedekad bertukar menjadi kacau-bilau.
Tiada calon memperoleh majoriti mutlak, bermakna pusingan kedua pilihan raya akan diadakan pada 7 Jun.
Presiden sementara, Jose Maria Balcazar berkata pada Selasa bahawa beliau akan menyerahkan kepada pemenang pilihan raya untuk memuktamadkan perjanjian pembelian pesawat itu.
Duta AS ke Peru, Bernardo Navarro pada Jumaat mengeluarkan amaran yang dipercayai berkaitan dengan perjanjian tersebut.
“Jika anda berurusan dengan AS dengan niat tidak baik dan menjejaskan kepentingan AS, yakinlah saya, bagi pihak @POTUS (Donald) Trump (Presiden AS) serta pentadbirannya, akan menggunakan setiap alat yang ada untuk melindungi selain mempromosikan kemakmuran, keselamatan Amerika termasuk rantau kita,” tulis Navarro di X.
‘Tidak mahu konfrontasi,” tambahnya lagi.
Pada Rabu, Balcazar muncul di televisyen negara untuk memberi jaminan kepada rakyat Peru bahawa beliau tidak mencari konfrontasi dengan AS.
Beliau berkata, keputusan menghentikan perjanjian pertahanan itu bertujuan memastikan dana awam digunakan secara wajar, munasabah, selaras dengan jurang sosial besar yang perlu ditangani dalam negara.
Namun, Zela berkata, keputusan itu membahayakan negara itu dan menjejaskan kredibilitinya sebagai menteri luar.
Beliau mendakwa kontrak untuk pesawat F-16 telah ditandatangani pada Isnin selepas diluluskan oleh Majlis Pertahanan Negara dan bayaran awal dijadual dibuat pada Rabu.
Diaz pula berkata, pembelian pesawat itu bukan isu politik tetapi demi keselamatan dan pertahanan negara.
Balcazar, yang menggantikan pemimpin sementara sebelumnya yang digulingkan, menafikan pada Selasa bahawa urus niaga pembelian pesawat itu telah dimuktamadkan.
Tempoh pemerintahannya berakhir pada 28 Julai. – AFP










