Sri Lanka perkenal sistem kerja 4 hari seminggu - Utusan Malaysia

Sri Lanka perkenal sistem kerja 4 hari seminggu

SEJUMLAH penunggang motosikal beratur untuk mengisi petrol di Wellawatte, semalam - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COLOMBO: Sri Lanka mula memperkenalkan sistem waktu bekerja empat hari seminggu bagi memelihara rizab bahan api dan gas yang semakin menyusut, susulan konflik di Asia Barat yang menjejaskan bekalan tenaga secara serius di rantau ini.

Bermula hari ini, semua institusi kerajaan dan pendidikan akan beroperasi hanya empat hari seminggu, manakala penjawat awam digalakkan bekerja dari rumah.

“Kita mesti bersedia untuk kemungkinan paling buruk, tetapi berharap kepada yang terbaik,” kata Presiden Anura Kumara Dissanayake dalam satu mesyuarat kecemasan bersama pegawai-pegawai kanan pada Isnin. 

Dissanayake berkata, perkhidmatan penting, termasuk hospital, pelabuhan dan perkhidmatan kecemasan akan terus beroperasi seperti biasa.

Menyentuh perkara yang sama, Pesuruhjaya Tinggi Perkhidmatan Penting, Prabath Chandrakeerthi berkata bahawa sektor swasta digesa untuk mengikut langkah ini dengan mengisytiharkan setiap Rabu sebagai cuti umum.

Sri Lanka mengimport semua minyaknya dan juga membeli arang batu untuk penjanaan elektrik.

Pada Ahad, negara itu mengehadkan setiap kenderaan dibenarkan mengisi petrol  kepada 15 liter atau diesel setiap minggu, manakala pengangkutan awam diberikan sehingga 200 liter.

Sri Lanka membeli produk petroleum yang telah diproses daripada Singapura, Malaysia dan Korea Selatan, manakala minyak mentah untuk kilang penapisan yang dibina dengan kerjasama Iran diperoleh daripada Asia Barat. 

Kerajaan telah memberi amaran bahawa sebarang peningkatan dalam pergaduhan di Asia Barat dan perang boleh melemahkan dengan teruk usaha negara itu untuk bangkit daripada kemelut ekonomi yang berlaku pada tahun 2022.

Negara-negara di Asia Selatan kini berdepan kekurangan kritikal bekalan bahan api dan Gas Petroleum Cecair (LPG) yang digunakan untuk pelbagai tujuan daripada memasak di rumah sehingga kepada proses pembakaran mayat.

Namun, sebahagian besar bekalan tersebut tersekat di Teluk Parsi sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel memulakan serangan ke atas Iran.

Selat Hormuz, laluan perkapalan kritikal bagi sebahagian besar bekalan minyak dan gas Asia Selatan, dilaporkan telah ditutup selama dua minggu akibat sekatan oleh Iran sebagai tindak balas terhadap serangan AS dan Israel. 

Kebanyakan negara di rantau ini mengimport hampir keseluruhan keperluan tenaga mereka dan memberi amaran bahawa bekalan sedia ada hanya mampu bertahan untuk beberapa minggu lagi.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×