MADRID: Parlimen Sepanyol kelmarin meluluskan pakej rangsangan ekonomi bernilai lima bilion euro (RM23 bilion) bagi menangani impak ekonomi akibat perang Iran, termasuk pemotongan tinggi terhadap cukai tenaga.
Langkah itu diluluskan dengan 175 undi menyokong, 33 menentang dan 141 lagi berkecuali.
“Langkah ini dirancang untuk melindungi sektor produktif kita serta golongan yang paling terdedah,” kata Perdana Menteri, Pedro Sanchez, minggu lalu ketika mengumumkan pelan tersebut.
Antara langkah itu termasuk pemotongan cukai nilai tambah (VAT) ke atas gas dan bahan api, yang dijangka menurunkan harga petrol sebanyak 30 sen euro (RM1.56) seliter, atau kira-kira 20 euro (RM92.50) setangki bagi kereta secara purata.
Bantuan tambahan termasuk subsidi langsung sebanyak 20 sen euro (RM0.92) seliter bahan api untuk pengendali pengangkutan, petani, penternak dan nelayan, berserta cukai elektrik yang lebih rendah.
Harga petrol di Sepanyol melonjak daripada 1 euro (RM4.62) setiap liter pada 28 Februari, apabila pengeboman Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran bermula, kepada 1.80 euro (RM8.30) seliter pada hujung minggu lalu.
Sanchez dengan tegas enggan membenarkan tentera AS menggunakan pangkalan Sepanyol untuk menyerang Iran pada awal konflik, tindakan yang mencetuskan kritikan hebat daripada Presiden AS, Donald Trump.
“Setiap bom yang digugurkan di Asia Barat akhirnya menjejaskan, seperti yang kita saksikan sekarang, poket keluarga kita (berkurangan),” kata Sanchez kepada Parlimen pada Rabu lalu.
Ekonomi Sepanyol, mencatatkan kadar pertumbuhan jauh lebih tinggi dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.- AGENSI










