MADRID: Sebanyak 15 pesawat Amerika Syarikat (AS) meninggalkan pangkalan tentera Rota dan Moron di selatan Sepanyol sejak AS dan Israel melancarkan serangan hujung minggu ke atas Iran, menurut peta laman penjejakan penerbangan FlightRadar24.
Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares berkata, negara itu tidak akan membenarkan pangkalan tenteranya yang dikendalikan bersama dengan AS tetapi berada di bawah kedaulatan Sepanyol digunakan untuk menyerang Iran, tindakan yang telah dikecam Madrid.
Sekurang-kurangnya tujuh pesawat itu direkodkan oleh FlightRadar24 mendarat di Ramstein Air Base di Jerman.
Britain pada awalnya juga enggan membenarkan penggunaan pangkalannya untuk menyerang Iran, namun pada Ahad Perdana Menteri, Keir Starmer memberi kebenaran atas alasan ‘pertahanan diri kolektif’.
Pendirian Sepanyol serta kecaman tegas terhadap tindakan AS-Israel di Iran oleh Perdana Menteri Sosialis, Pedro Sánchez, sekali lagi menjadikan negara itu berbeza daripada kebanyakan negara lain di rantau tersebut, sekali gus berpotensi menambah ketegangan hubungannya dengan Washington.
Sanchez, turut mengecam serangan AS-Israel ke atas Iran dan menyifatkannya sebagai campur tangan ketenteraan tidak wajar serta berbahaya kerana melanggar undang-undang antarabangsa.
“Pangkalan Sepanyol tidak digunakan untuk operasi ini, dan tidak akan digunakan untuk apa-apa yang tidak termasuk dalam perjanjian dengan AS atau yang tidak selaras dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” kata Albares kepada penyiar Sepanyol, Telecinco.
Menteri Pertahanan, Margarita Robles berkata, pesawat-pesawat tersebut terutamanya pesawat tangki pengisian bahan api udara termasuk Boeing KC-135 Stratotanker ditempatkan secara tetap di Sepanyol.
Menurut laman penjejakan FlightRadar24, sembilan pesawat tangki berlepas pada Ahad dari pangkalan udara Moron di selatan Sepanyol menuju ke Jerman.
Dua penerbangan lagi berlepas dari Rota, sebuah pangkalan tentera laut yang mempunyai landasan udara, menuju ke selatan Perancis, manakala empat lagi penerbangan berlepas dari Rota tetapi laluannya tidak dipaparkan.-AGENSI










