BAITULMUQADDIS: Menteri-menteri luar dari lapan negara majoriti Islam, termasuk Turkiye, mengecam Israel kerana mengehadkan akses jemaah Islam ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis sepanjang bulan Ramadan.
Mereka menggesa masyarakat antarabangsa menekan rejim Zionis itu supaya menamatkan langkah sekatan tersebut.
Dalam satu kenyataan bersama, menteri luar Turkiye, Mesir, Jordan, Indonesia, Pakistan, Qatar, Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) mengkritik pihak berkuasa Israel kerana terus menutup pintu Masjid Al-Aqsa kepada jemaah Muslim sepanjang bulan suci Ramadan.
Mereka berkata, sekatan keselamatan yang mengehadkan akses ke Kota Lama Baitulmuqaddis dan tempat-tempat ibadat di kawasan berkenaan merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Tindakan itu juga melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa, selain bercanggah dengan status quo sejarah dan perundangan yang sekian lama mengawal selia kawasan tersebut.
Menteri-menteri berkenaan turut menolak keras langkah yang disifatkan sebagai tidak sah sambil menuduh Israel terus melakukan tindakan provokatif di Masjid Al-Aqsa dan terhadap para jemaah.
Kenyataan itu turut menyatakan Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas Baitulmuqaddis yang diduduki mahupun tapak suci Islam dan Kristian di kawasan tersebut.
Kelapan-lapan menteri itu juga menyatakan keseluruhan kawasan kompleks Masjid Al-Aqsa, meliputi kira-kira 14.4 hektar, merupakan tempat ibadat yang dikhaskan sepenuhnya untuk umat Islam.
Mereka menekankan, Jabatan Wakaf Baitulmuqaddis dan Hal Ehwal Masjid Al-Aqsa yang beroperasi di bawah Kementerian Wakaf serta Hal Ehwal Islam Jordan, merupakan satu-satunya pihak berkuasa sah. Ia turut bertanggungjawab mentadbir kawasan tersebut termasuk mengawal selia kemasukan jemaah.
Menteri-menteri itu menggesa Israel supaya segera membuka semula pintu Masjid Al-Aqsa dan membenarkan jemaah Muslim memasuki masjid tersebut secara bebas. Mereka menyeru masyarakat antarabangsa mengambil pendirian tegas bagi memaksa rejim Zionis menghentikan apa yang disifatkan sebagai pelanggaran berterusan terhadap tapak suci Islam dan Kristian di Baitulmuqaddis.
Sejak bermulanya perang Gaza pada 7 Oktober 2023, pihak berkuasa Israel mengetatkan sekatan terhadap rakyat Palestin yang mahu melakukan perjalanan dari Tebing Barat ke Baitulmuqaddis Timur. – AGENSI










