LONDON: Menteri pertahanan dan menteri angkatan tentera Britain meletak jawatan pada Khamis ekoran pertikaian mengenai perbelanjaan ketenteraan sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Perdana Menteri, Keir Starmer yang kini sedang bergelut dengan desakan untuk melepaskan jawatannya.
Setiausaha Pertahanan, John Healey meletak jawatan dan memberi amaran bahawa Pelan Pelaburan Pertahanan (DIP) tajaan Starmer bagi pembiayaan dekad akan datang yang masih belum diterbitkan itu berisiko membuatkan Britain menjadi kurang selamat.
Menjelang sebelah malam, Al Carns menjadi tokoh kanan pertahanan kedua yang berundur apabila meletak jawatan sebagai menteri angkatan tentera, bersama pembantu Healey, Pamela Nash.
Gelombang peletakan jawatan ini melemahkan kuasa kepimpinan Starmer pada waktu yang kritikal iaitu seminggu sebelum pilihan raya kecil yang boleh mencetuskan usaha untuk menggantikan beliau.
“Anda telah gagal, dan Perbendaharaan pula tidak bersedia untuk memberikan komitmen sumber yang diperlukan oleh negara bagi mempertahankan tanah air ketika ancaman semakin meningkat,” kata Healey dalam surat peletakan jawatan kepada Starmer yang dimuat naik di akaun X miliknya.
“Selepas menjelaskan kepada anda bahawa saya tidak dapat menerima ketetapan DIP yang tidak memberikan angkatan tentera kita sumber yang mereka perlukan, saya kini tidak mempunyai pilihan lain selain menyerahkan peletakan jawatan saya,” tambahnya.
Susulan itu, bekas pegawai tentera, Dan Jarvis dinamakan sebagai pengganti Healey, berpindah daripada jawatan menteri muda di Kementerian Dalam Negeri.
“Tugas utama saya adalah untuk memastikan rakyat British selamat dan saya akan sentiasa melakukan apa sahaja yang perlu untuk melindungi keselamatan negara kita,” kata Starmer selepas pelantikan Jarvis.
“Kerajaan (pimpinan parti) Buruh ini sedang membawa peningkatan berterusan yang terbesar dalam perbelanjaan pertahanan sejak era Perang Dingin,” tegas beliau.
“Dalam dunia yang berbahaya dan tidak menentu ini, kami akan memberikan angkatan tentera kita keupayaan yang mereka perlukan untuk mempertahankan Britain dan memastikan negara kita kekal selamat,” tambahnya.
Pelan pertahanan tersebut telah berulang kali ditangguhkan, namun Starmer berkeras bahawa beliau akan menerbitkannya sebelum sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Turkiye pada 7 Julai ini.
Kerajaan haluan kiri-tengah pimpinan Starmer yang dipilih pada Julai 2024 selepas 14 tahun pemerintahan parti Konservatif sebelum ini telah berikrar untuk meningkatkan perbelanjaan dan memberi keutamaan kepada NATO, terutamanya ketika ancaman daripada Russia semakin meningkat. – AFP










