DUBAI: Dua hotel mewah di Dubai terkena letupan bom ketika Iran melancarkan serangan balas di seluruh rantau Asia Barat sebagai tindak balas terhadap tindakan ketenteraan berterusan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadapnya.
Video yang disahkan oleh BBC menunjukkan kebakaran marak di Fairmont The Palm pada Sabtu di bandar terbesar Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu.
Asap hitam tebal kelihatan menjulang ke udara. Satu lagi video yang disahkan dirakam dari bangunan bertentangan hotel tersebut, menunjukkan detik impak diikuti letupan apabila bebola api oren besar meletus dan individu yang merakam kelihatan terjatuh ke tanah.
Kepulan asap besar dapat dilihat dari hotel lima bintang itu ketika pasukan kecemasan berada di lokasi.
Pegawai tempatan berkata, empat orang cedera dalam kebakaran di sebuah bangunan di kawasan Palm Jumeirah, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Serpihan dron yang ditembak jatuh oleh pertahanan udara turut menyebabkan kebakaran kecil di hotel mewah Burj Al-Arab.
Pada awal pagi Ahad, Pejabat Media Dubai memaklumkan empat orang cedera dalam satu insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, hab pengangkutan utama di lokasi berkenaan.
Ruang legar lapangan terbang dilaporkan mengalami kerosakan kecil, namun tiada penjelasan lanjut dikeluarkan.
Qatar, Bahrain, Jordan dan Kuwait yang masing-masing menempatkan pangkalan tentera AS menyatakan mereka telah memintas peluru berpandu yang dilepaskan ke arah wilayah mereka.
Kepulan asap hitam besar dilihat dari kawasan berhampiran ibu pejabat Armada Kelima Tentera Laut AS di Manama, Bahrain. Tahap kerosakan masih belum jelas dan pihak AS belum mengulas.
Di Doha, Kementerian Pertahanan Qatar berkata, ia telah memintas beberapa peluru berpandu yang dipercayai menyasarkan Pangkalan Udara al-Udeid, pangkalan terbesar AS di rantau itu.
Letupan turut kedengaran di Kuwait dan agensi berita tempatan Kuna melaporkan sebuah dron yang menyasarkan lapangan terbang antarabangsa menyebabkan kecederaan ringan kepada beberapa pekerja dengan kerosakan terhad pada sebuah terminal.
Rakaman dari Doha turut menunjukkan puluhan orang melarikan diri daripada serpihan peluru berpandu yang jatuh di kawasan kediaman.
Kementerian Luar Qatar mengecam tindakan menyasarkan wilayah Qatar dengan peluru berpandu balistik Iran, yang disifatkannya sebagai pelanggaran nyata terhadap kedaulatan negara dan “peningkatan ketegangan yang tidak boleh diterima.
Pertahanan udara AS turut menembak jatuh sebuah dron di atas pangkalan tentera AS berhampiran Erbil, Iraq, menurut laporan Reuters.
Di Jordan, angkatan tentera memaklumkan mereka menembak jatuh dua peluru berpandu balistik yang menyasarkan wilayahnya, dengan pihak berkuasa berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) berkata, mereka menerima laporan kapal-kapal telah diberi amaran Selat Hormuz akan ditutup kepada perkapalan.
Selat itu dianggap sebagai salah satu laluan perdagangan maritim paling penting di dunia dan titik sempit kritikal bagi transit minyak. Kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas dunia melalui laluan tersebut.
Sekiranya ia disekat, kesannya boleh menjadi besar terhadap ekonomi global, mengganggu perdagangan antarabangsa dan melonjakkan harga minyak.










