Belanda waspada ‘jerat’ Jepun

Belanda waspada ‘jerat’ Jepun

SKUAD Belanda menjalani latihan sebgai persiapan untuk berdepan Jepun, esok.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALLAS: Belanda tidak boleh memandang mudah cabaran Jepun dalam aksi pembukaan Kumpulan F Piala Dunia 2026, esok bagi mengelak kejutan awal berlaku.

Dalam kumpulan yang turut dibarisi Sweden dan Tunisia, kedua-dua pasukan memburu kedudukan dua teratas bagi menjamin tempat ke pusingan kalah mati.

Membuat penampilan ke-12 di Piala Dunia, Belanda muncul negara paling kerap bergelar naib juara, selepas tewas dalam perlawanan akhir pada 1974, 1978 dan 2010.

Mara ke pusingan kalah mati menjadi misi pertama mereka dan sejarah menunjukkan Oranje seharusnya mampu melepasi Kumpulan F dengan selesa.

Berdasarkan rekod, Belanda juga tidak pernah tewas dalam 16 perlawanan peringkat kumpulan Piala Dunia sejak 1994.

Pada tahun tersebut, Ronald Koeman mengetuai Belanda sebagai kapten di Piala Dunia yang berlangsung di Amerika Syarikat dan kini beliau kembali memimpin negaranya di Amerika Utara sebagai ketua jurulatih.

Selepas kempen kelayakan yang kurang meyakinkan apabila hanya berjaya mengatasi Poland dengan tipis, aksi pemanas badan terakhir Belanda berakhir dengan kekalahan di De Kuip apabila Algeria menamatkan rekod tanpa kalah mereka dalam 10 perlawanan.

Kuasa besar bola sepak Asia, Jepun pula bakal beraksi dalam Piala Dunia buat kali kelapan berturut-turut. Namun, pencapaian terbaik mereka masih sekadar mara ke pusingan 16 terbaik.

Menduduki ranking ke-18 dunia, hanya 10 anak tangga di bawah Belanda, skuad kendalian Hajime Moriyasu hadir dengan prestasi cukup meyakinkan selepas memenangi enam perlawanan persahabatan berturut-turut.

Kemenangan ke atas Brazil dan England menambahkan keyakinan Samurai Biru yang sebelum itu melangkah cemerlang dalam kempen kelayakan Piala Dunia.

Dengan 54 gol, Jepun muncul pasukan paling prolifik dalam kelayakan Zon Asia dan menjadi negara pertama mengesahkan tempat ke Piala Dunia selain tiga tuan rumah kejohanan.

Malah, mereka hanya dibolosi tiga kali sepanjang kempen tersebut, sekali gus membuktikan kekuatan organisasi dan keserasian pasukan yang meningkatkan harapan untuk melakar kejayaan besar musim panas ini.

Jepun menyerlah ketika menentang kuasa Eropah di Piala Dunia 2022 di Qatar apabila menewaskan Jerman dan Sepanyol dalam peringkat kumpulan sebelum seri dengan Croatia dan tersingkir menerusi penentuan penalti.

Belanda menerima tamparan apabila penjaga gol utama, Bart Verbruggen mengalami kecederaan pinggul dalam aksi pemanas badan terakhir selain pertahanan Arsenal, Jurrien Timber sebelum ini terpaksa menarik diri daripada skuad.

Jerdy Schouten yang mengalami kecederaan ligamen lutut (ACL) turut menyertai senarai pemain yang tidak dapat beraksi bersama Matthijs de Ligt dan perancang utama, Xavi Simons.

Bagi Jepun pula, kehilangan terbesar mereka ialah kapten, Wataru Endo yang mengumumkan persaraan daripada arena antarabangsa selepas gagal pulih daripada kecederaan kaki. Sayap lincah, Kaoru Mitoma turut terlepas kejohanan.

Tanpa Mitoma, Moriyasu dijangka menyandarkan harapan kepada Takefusa Kubo dan Junya Ito untuk membantu penyerang tunggal, Ayase Ueda. Ketiga-tiga pemain itu merekodkan gabungan 33 penglibatan gol dalam kempen kelayakan.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN