DUBAI: Semua pedagang emas di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) kini menawarkan jongkong emas pada harga diskaun selepas konflik di Asia Barat menjejaskan jadual penerbangan dan menyebabkan penghantaran terkandas di salah satu hab perdagangan utama dunia itu.
Menurut laporan Bloomberg yang memetik sumber pedagang, beberapa pengedar menjual emas pada harga diskaun sehingga AS$30 (RM118.70) bagi setiap auns atau kira-kira 31 gram berbanding penanda aras global yang ditetapkan di London.
Harga luar biasa ini mencerminkan masalah logistik yang semakin meruncing apabila pembekal bergelut untuk membawa keluar emas dari rantau berkenaan.
Kebanyakan pembeli telah menghentikan pesanan baharu buat masa ini. Susulan gangguan perjalanan udara dan garis masa penghantaran yang tidak menentu, pedagang memaklumkan pelanggan tidak sanggup membayar kos penghantaran dan insurans yang lebih tinggi tanpa jaminan bekalan emas akan tiba tepat pada masanya.
Sehingga Jumaat lalu, beberapa penghantaran emas dilaporkan masih terkandas di Dubai. Sebahagian kargo hanya mula bergerak semula pada pertengahan minggu selepas beberapa penerbangan terhad disambung semula.
Dubai memainkan peranan utama dalam perdagangan emas global.
Bandar raya itu merupakan hab penapisan dan eksport utama bagi jongkong emas ke seluruh Asia, selain mengendalikan penghantaran yang tiba dari Switzerland, United Kingdom dan beberapa pengeluar di Afrika.
Bagaimanapun, ruang udara di rantau itu kini disekat sebahagiannya susulan gelombang serangan peluru berpandu Iran di tengah-tengah konflik yang sedang berlaku antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran.
Gangguan logistik di Dubai mula dirasai di India, yang merupakan antara destinasi terbesar bagi penghantaran emas dari hab perdagangan berkenaan.
Ketua Penyelidik di Augmont Enterprises Ltd., Renisha Chainani berkata, beberapa penghantaran kargo telah tertangguh atau terkandas, sehingga membawa kepada kekurangan bekalan fizikal jongkong emas di pasaran India dalam tempoh jangka masa pendek.
Bagaimanapun, buat masa ini, pembeli di India dilihat tidak terburu-buru untuk membuat pesanan baharu. Perunding utama bagi Asia Selatan di Metals Focus, Chirag Sheth menjelaskan bahawa inventori domestik India masih berada pada paras yang selesa susulan jumlah import yang tinggi pada Januari lalu.
“Setakat ini, stok masih mencukupi. Namun, jika situasi ini berlarutan untuk tempoh beberapa bulan akan datang, ia bakal menimbulkan masalah besar kepada pasaran tempatan,” katanya. – AGENSI










