WASHINGTON: Seorang bekas pegawai kerajaan Amerika Syarikat (AS) telah ditangkap selepas penyiasat Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menemui ratusan jongkong emas bernilai lebih ASAS$40 juta (RM159 juta) di rumahnya di Virginia.
Menurut dokumen mahkamah, David Rush telah membuat beberapa permintaan kepada kerajaan AS untuk menerima jongkong emas tersebut bagi perbelanjaan berkaitan kerja sepanjang tahun lalu
Dia telah didakwa atas kesalahan jenayah kecurian wang awam dalam satu aduan yang difailkan minggu lalu.
Menurut The New York Times, Rush memegang jawatan kanan di Agensi Perisikan Pusat (CIA).
Dia telah ditangkap dan kini ditahan sehingga perbicaraan minggu ini. Peguamnya enggan memberi komen.
Ejen turut menemukan kira-kira AS$2 juta (RM8 juta) dalam bentuk mata wang AS di rumah Rush, bersama 35 jam tangan mewah, kebanyakannya jenama Rolex.
Rush, yang menurut dokumen mahkamah mempunyai pelepasan keselamatan tahap tertinggi dan akses kepada maklumat rahsia, turut dituduh berbohong mengenai pendidikan serta perkhidmatan ketenteraannya ketika memohon jawatan kerajaan, selain secara penipuan mengambil cuti ketenteraan dengan bayaran ribuan dolar.
Rush ialah bekas eksekutif kanan di sebuah agensi kerajaan AS di Virginia, menurut dokumen mahkamah.
Apabila ditanya mengenai kes Rush, FBI berkata dalam kenyataan bertulis bahawa pihaknya telah menangkap seorang individu pada 19 Mei. – AFP










