SANTO DOMINGO: Pihak polis di Republik Dominican menahan seorang wanita berusia 64 tahun selepas dia menyanyikan lagu kebangsaan menggunakan irama tempatan rancak dalam satu sesi karaoke di sebuah restoran.
Satu laporan polis yang dikeluarkan pada Selasa menuduh Amarilis Brito Rodríguez menghina lagu kebangsaan dengan mempersembahkannya dalam genre gaya bandar di restoran Mofongo & Variedades Eddy.
Dalam sebuah video yang dimuat naik dalam talian, Brito dilihat memegang mikrofon dengan sebelah tangan sambil mengangkat tangan untuk menegaskan setiap patah perkataan dan bergoyang mengikut muzik sambil disertai oleh beberapa pelanggan lain awal bulan ini.
Pihak polis menyatakan mereka berjaya mengesan wanita itu beberapa hari kemudian di kediamannya di perbandaran San Víctor dan menangkapnya pada Isnin.
“Maaf, maaf,” katanya kepada wartawan sambil tersenyum ketika dibawa masuk ke dalam sebuah bangunan kerajaan dalam keadaan bergari.
Brito menjelaskan bahawa dia telah menulis versi yang dinyanyikannya itu sejak 22 tahun lalu.
Dia juga mendakwa tiada undang-undang pada masa itu yang melarang tafsiran sedemikian.
Bagaimanapun, pihak polis menegaskan bahawa dia telah melanggar Perkara 37 Undang-Undang 210-19 berkaitan simbol kebangsaan di Republik Dominican yang mentakrifkan tindakan penghinaan terhadap lagu kebangsaan.
Undang-undang tersebut menyatakan bahawa adalah haram untuk mengubah lirik dan tempo muzik lagu kebangsaan atau menari semasa ia dipersembahkan; menyanyi atau memainkannya dalam upacara pengebumian individu.
Jika didapati bersalah atas pertuduhan itu, dia boleh berdepan hukuman penjara selama beberapa bulan dan denda.
“Saya menggunakan bait-bait lagu kebangsaan untuk menyatakan semangat bebas saya,” katanya kepada wartawan.
“Saya patuh kepada apa yang dikatakan oleh undang-undang, tetapi saya tidak menyesal. (Ini) kerana saya tidak rasa saya melakukan sebarang kemudaratan,” tambahnya.
Ramai netizen di media sosial telah mengkritik tindakannya dengan menyatakan bahawa lagu kebangsaan harus dihormati. Namun, ada juga yang mengkritik pihak polis dengan menyatakan bahawa mereka sepatutnya menangani isu yang lebih mendesak seperti jenayah kekerasan dan rasuah. – AGENSI










