ROM:Sekumpulan perompak bersenjata berat yang menyamar sebagai anggota polis telah membuat sekatan di sebuah lebuh raya utama di selatan Itali semalam dan meletupkan sebuah trak berperisai dalam satu rompakan yang berakhir dengan insiden berbalas tembakan serta aksi kejar-mengejar.
Serangan itu berlaku di wilayah Puglia, di mana sekumpulan lelaki bertopeng yang bersenjatakan raifal Kalashnikov menyekat laluan di hadapan pemandu-pemandu yang tergamam.
Kumpulan penjenayah tersebut menyekat lebuh raya dengan membakar sebuah trak, manakala sebahagian lagi menggunakan kenderaan yang dilengkapi lampu berkelip bagi menyamar sebagai polis untuk menghampiri sebuah van berperisai sasaran.
Satu rakaman video memaparkan ahli-ahli kumpulan tersebut tunduk bersembunyi di belakang kereta ketika kenderaan berperisai itu meletup sehingga serpihan-serpihannya melayang ke udara.
Beberapa klip video yang dirakam oleh pengguna-pengguna lebuh raya memaparkan sekurang-kurangnya enam suspek bertopeng dengan ada yang memakai pakaian putih bergerak di celah-celah kenderaan sambil disaksikan mangsa-mangsa yang ketakutan.
Kenderaan yang disasarkan adalah milik syarikat Battistolli, sebuah firma yang mengendalikan perkhidmatan pengangkutan tunai berperisai di seluruh Itali. Menurut media tempatan, beberapa pemandu lain yang terperangkap dalam kepungan itu turut dirompak.
Suspek-suspek kemudian melarikan diri, mencetuskan aksi kejar-mengejar dengan pasukan polis. Dalam kejadian itu, sebuah kereta polis terkena tiga das tembakan. Sebuah lagi kenderaan telah dirempuh oleh suspek.
Pihak polis yang mengejar sebuah kereta jenis Alfa Romeo yang dipandu laju akhirnya menemukan kenderaan tersebut yang ditinggalkan di kawasan luar bandar. Dua ahli kumpulan itu berjaya ditahan ketika cuba melarikan diri dengan berjalan kaki.
Meskipun serangan tersebut sangat terancang dan ganas, kumpulan perompak itu dilaporkan gagal melarikan sebarang wang tunai daripada van berperisai berkenaan.
Menurut saluran berita televisyen Itali, Sky TG24 kumpulan penjenayah itu berasal dari kawasan Foggia iaitu sebuah wilayah terkenal sebagai pusat operasi kumpulan kongsi gelap yang pakar dalam rompakan bersenjata terhadap kenderaan penghantaran wang. – AGENSI










