WASHINGTON: Era kepolisan masa hadapan dijangka berubah sepenuhnya apabila robot berkuasa kecerdasan buatan (AI) diramal mula meronda di jalanan dalam tempoh dua tahun lagi.
Menurut seorang pakar akademik terkemuka dari Amerika Syarikat (AS), teknologi itu bakal merevolusikan penguatkuasaan undang-undang apabila robot itu mampu melakukan pengecaman wajah dan analisis ancaman yang canggih.
Pakar akademik dari Jabatan Sosiologi dan Keadilan Jenayah, Universiti Delaware, Profesor Ivan Sun menjelaskan bahawa robot-robot ini memiliki kemampuan luar biasa untuk mengenal pasti suspek serta mengesan sama ada individu tersebut membawa senjata dari jarak sejauh 200 meter.
“Peluang dan potensinya tidak terhad,” ujarnya ketika berucap di persidangan Persatuan Kemajuan Sains Amerika (AAAS) di Phoenix, Arizona.
Beliau menjangkakan robot-robot itu akan mula menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang secara langsung dalam tempoh masa sangat singkat.
Meskipun dirancang untuk bekerja bersama anggota-anggota polis manusia, robot-robot itu menawarkan kelebihan dari segi kepantasan dan ketahanan.
Antara keupayaan utamanya termasuk mengejar suspek sejauh lapan kilometer tanpa mengalami keletihan, satu kelebihan besar berbanding anggota polis biasa.
Sambil mengejar, sistem pada robot tersebut secara automatik akan mengimbas data biometrik dan ciri-ciri fizikal suspek untuk direkodkan.
Sun turut mencadangkan bahawa sebuah robot berpotensi melaksanakan tugas yang setara dengan tiga anggota polis kerana ia tidak memerlukan waktu rehat atau tidur.
Dalam senario berisiko tinggi seperti rompakan bersenjata, robot itu mampu mengambil alih arahan di lokasi kejadian sambil menganalisis tahap ancaman masa nyata.
Keupayaan mereka untuk bertahan dalam situasi berbalas tembakan juga menjadikannya aset berharga dalam meminimumkan risiko kehilangan nyawa anggota manusia. – AGENSI










