KANO: Gara-gara sengaja tidak berpuasa pada hari pertama Ramadan, seramai sembilan individu termasuk dua wanita ditangkap oleh pasukan polis Islam (Hisbah) di negeri utara Nigeria, Kano.
Timbalan Panglima Tertinggi Hisbah, Mujahid Aminudeen memberitahu Perbadanan Penyiaran British (BBC) bahawa tujuh lelaki dan dua wanita tersebut memberikan alasan tidak tahu bahawa bulan Ramadan sudah pun bermula ketika ditangkap.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak melepaskan mereka begitu sahaja. Sebaliknya, kesemua individu terbabit kini ditempatkan di pusat tahanan untuk menjalani sesi pemulihan sahsiah.
“Kami telah menangkap dan mereka kini bersama kami. Kami akan mengajar mereka tentang kepentingan berpuasa, cara bersolat, membaca al-Quran dan bagaimana untuk menjadi Muslim yang lebih baik,” jelas Mujahid.
Setakat ini, pihak Hisbah tidak mendedahkan tempoh sebenar mereka akan ditahan. Namun, berdasarkan kes-kes sebelum ini, pegawai Hisbah akan menghubungi ahli keluarga tahanan bagi memastikan pemantauan rapi dilakukan selepas dibebaskan agar mereka menghabiskan baki puasa.
Kano mempunyai majoriti penduduk beragama Islam, di mana sistem perundangan Islam (syariah) beroperasi bersama undang-undang sivil.
Hisbah melakukan pemeriksaan di kafe, restoran dan pasar setiap tahun sepanjang bulan Ramadan bagi memastikan umat Islam mematuhi waktu berpuasa.
Bagaimanapun, beberapa premis perniagaan tetap dibuka di kawasan yang mempunyai ramai penduduk penganut Kristian di Kano.
Undang-undang Syariah telah diperkenalkan sejak lebih dua dekad lalu untuk dilaksanakan bersama undang-undang sivil di 12 negeri di utara Nigeria yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam.
Sebelum ini, Gabenor Sokoto, Ahmad Aliyu berkata, kerajaan telah mengagihkan guni jagung dan bantuan tunai kepada 1,000 orang menjelang Ramadan. – AGENSI/BBC










