LONDON: Kadar pengangguran di Britain meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh lima tahun, mencecah 5.2 peratus pada suku akhir 2025 ketika ekonomi negara itu bergelut untuk Kembali berkembang.
Kadar itu meningkat sedikit daripada 5.1 peritus yang direkodkan dalam tempoh tiga bulan hingga akhir November, kata Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS).
Ia merupakan paras tertinggi sejak Januari 2021, ketika pandemik COVID-19 melanda.
“Jumlah pekerja dalam senarai gaji terus menurun pada suku akhir tahun, mencerminkan aktiviti pengambilan pekerja yang lemah,” kata Pengarah Statistik Ekonomi ONS, Liz McKeown dalam satu kenyataan.
Penganalisis berkata, data itu meningkatkan kemungkinan Bank of England menurunkan kadar faedah penanda aras bulan depan, jangkaan yang memberi tekanan kepada nilai pound pada Selasa.
Data rasmi minggu lalu menunjukkan ekonomi Britain berkembang kurang daripada jangkaan pada suku akhir 2025.
“Meneruskan trend kebelakangan ini, pasaran buruh UK menunjukkan tanda-tanda kelemahan pada saat pertumbuhan ekonomi sukar dicapai,” kata Pengurus Pelaburan Quilter Cheviot, Jonathan Raymond.
ONS turut memaklumkan pertumbuhan gaji perlahan lagi pada suku keempat kepada 4.2 peratus, sementara inflasi keseluruhan UK dijangka terus menurun dalam beberapa bulan akan datang.-AFP










