SAN FRANCISCO: Hartawan terkenal, Elon Musk mengumumkan syarikat roket miliknya, SpaceX akan mengambil alih syarikat kecerdasan buatan (AI) beliau, xAI dalam usaha mengumpul berbilion dolar bagi merealisasikan projek angkasa lepas berskala besar yang disifatkan seperti fiksyen sains.
Di laman web SpaceX pada Isnin, Musk berkata, penggabungan itu yang semakin merapatkan kepentingan perniagaannya, akan mewujudkan enjin inovasi bersepadu paling bercita-cita tinggi di bumi dan angkasa lepas.
Beliau menyatakan keupayaan gabungan itu merangkumi AI, roket, internet berasaskan angkasa, komunikasi terus ke peranti mudah alih serta platform maklumat masa nyata dan kebebasan bersuara terbesar di dunia.
SpaceX kini mendahului pasaran pelancaran angkasa, menawarkan roket boleh guna semula yang mengurangkan kos menghantar satelit ke orbit secara ketara, selain memiliki rangkaian satelit terbesar dunia melalui Starlink.
Syarikat itu dijangka disenaraikan di pasaran saham tahun ini, yang diramal menjadi penyenaraian awam permulaan (IPO) terbesar dalam sejarah.
The Financial Times melaporkan IPO itu berkemungkinan berlangsung pada Jun dengan sasaran kutipan sehingga AS$50 billion (RM196.36 billion).
Musk menyifatkan penggabungan xAI ke dalam SpaceX sebuah buku baharu dalam misi syarikat untuk mewujudkan ‘sentient sun’ atau sistem AI supercerdas berskala tenaga kosmik setara matahari.
Di sebalik bahasa fiksyen sains itu, tersirat rancangan menggunakan roket SpaceX untuk melancarkan pusat data berkuasa solar berasaskan satelit, bagi membangunkan dan mengendalikan model AI masa depan.
Pengumuman itu dibuat ketika pembiayaan besar-besaran bagi pembangunan AI oleh syarikat teknologi gergasi mula menunjukkan tanda-tanda tekanan.
“Permintaan elektrik global untuk AI tidak boleh dipenuhi melalui penyelesaian di bumi. Oleh itu satu-satunya penyelesaian logik ialah memindahkan usaha intensif sumber ini ke lokasi yang mempunyai bekalan tenaga dan ruang yang luas,” tulis Musk.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak mendedahkan butiran kewangan pengambilalihan tersebut atau garis masa pelancaran awal satelit.
Projek itu selari dengan cita-cita jangka panjang Musk untuk membina penempatan manusia di bulan dan Marikh, dan disifatkannya sebagai langkah pertama ke arah menjadi tamadun ‘Tahap Kardashev II”.
Istilah futuristik itu, yang diperkenalkan pada 1960-an oleh seorang ahli astronomi Soviet, merujuk kepada tamadun yang mampu menggunakan sepenuhnya tenaga daripada bintang dalam sistem asalnya.
“Semasa laporan keputusan Tesla minggu lalu, Musk mengumumkan akan mengalihkan tumpuan perniagaan daripada kenderaan elektrik kepada automasi dan AI malah perkara ini turut terpakai kepada cita-cita perjalanan angkasanya.
“Terdapat sinergi teknologi antara semua perniagaannya, namun yang penting ialah pandangan pasaran terhadap penilaian syarikat,” kata Ketua Strategi Pelaburan Hargreaves Lansdown, Emma Wall.
Anggaran penilaian bagi entiti gabungan SpaceX dan xAI berbeza-beza, dengan Bloomberg melaporkan nilai sekitar AS$1.25 trillion (RM4.9 trillion) manakala The Financial Times menganggarkan AS$1.5 trillion (RM5.89 trillion).
Pusingan pengumpulan dana pada Januari menilai xAI yang memiliki rangkaian sosial X dan chatbot Grok pada AS$230 billion (RM903.29 billion), manakala SpaceX dianggarkan bernilai sekitar AS$800 bilion (RM3.14 trillion) pada akhir tahun lalu.
Syarikat gabungan itu berpotensi menggabungkan modal, sumber pengkomputeran dan bakat tenaga kerja.
Musk sebelum ini menentang penyenaraian awam SpaceX kerana tidak menyukai penelitian ketat yang perlu dihadapi syarikat tersenarai awam, seperti Tesla.
Beliau juga berpendapat desakan pasaran terhadap pulangan kewangan bercanggah dengan matlamat utamanya untuk menempatkan manusia di Marikh.
Namun, keutamaan baharu syarikat itu memerlukan pelaburan yang sangat besar.
SpaceX kini sedang membangunkan Starship, roket terbesar dalam sejarah, yang direka untuk membawa misi berawak ke angkasa lepas.
Pengasas Amazon dan jutawan, Jeff Bezos pula bertekad menyaingi Musk menerusi roket New Glenn yang dibangunkan syarikatnya, Blue Origin.
Kedua-duanya betelagah mengenai program Artemis NASA, iaitu misi generasi baharu ke bulan, dengan agensi angkasa AS itu menyatakan ia mungkin beralih kepada pembekal lain selain SpaceX berikutan kelewatan.
Namun perkara itu tidak disentuh dalam kenyataan Musk, yang mendakwa SpaceX menyasarkan untuk melancarkan satu juta satelit berfungsi sebagai pusat data menggunakan roket Starship.
Jutawan kelahiran Afrika Selatan itu turut mendakwa SpaceX bakal mencapai kadar pelancaran sehingga satu penerbangan sejam, masing-masing membawa muatan 200 tan.
Ini merupakan peningkatan besar berbanding sekitar satu pelancaran setiap dua hari yang dicapai syarikat itu pada 2025, kebanyakannya menggunakan roket Falcon yang lebih kecil.-AFP











