Mangsa banjir Aceh sengsara sambut Ramadan tanpa rumah

Mangsa banjir Aceh sengsara sambut Ramadan tanpa rumah

KHEMAH sebagai penempatan sementara mangsa banjir dipasang di sebelah masjid di Meurah Dua, daerah Pidie Jaya di wilayah Aceh.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ACEH: Selepas berbulan-bulan banjir besar melanda Pulau Sumatera, ribuan mangsa masih hidup dalam keadaan serba kekurangan dan semakin kecewa dengan tindak balas pihak berkuasa yang disifatkan terlalu perlahan.

Di wilayah Aceh yang paling teruk terjejas, merangkumi sebahagian besar daripada lebih 1,000 kematian, kira-kira 26,000 mangsa masih hilang tempat tinggal selepas hujan monsun melanda kampung mereka tahun lalu.

Seorang mangsa, Rauzah berkata, dia kini berlindung di khemah sejak hampir tiga bulan lalu, dan terpaksa menyambut Ramadan dalam keadaan yang daif selepas bencana itu.

“Saya masih merasa trauma. Setiap kali hujan turun, saya jadi cemas. Saya asyik memikirkan tentang anak-anak, bagaimana untuk menyelamatkan mereka,” katanya.

Ramai mangsa masih berhimpit di pusat perlindungan sementara atau khemah, dengan harapan dapat kembali ke rumah mereka yang diselaputi lumpur tebal dalam masa terdekat.

Kebanyakan mangsa mula mempersoalkan nasib mereka yang dibiarkan hidup dalam keadaan tidak menentu dan sumbangan semakin berkurangan selepas bencana terburuk melanda Aceh sejak tsunami 2004.

Rauzah berharap sekurang-kurangnya mereka sekeluarga kini sudah mempunyai tilam dan bumbung untuk berteduh.

“Saya benar-benar berharap penempatan sementara dapat disiapkan segera. Di dalam khemah kami tidak dapat berehat. Terlalu panas sampai tidak boleh tidur.

“Kampung saya masih kelihatan seolah-olah bencana baru berlaku. Rumah masih tertimbus dalam lumpur,” katanya.

Di daerah Pidie Jaya, keadaan dilaporkan tidak banyak berubah sejak arus lumpur menenggelamkan kediaman penduduk.

Imam setempat, Fakhri berkata, bekalan daripada agensi yang disokong kerajaan terhenti sejak sebelum Ramadan, dengan ramai mangsa kini hilang pekerjaan.

“Program kerajaan bergerak perlahan, kami tidak tahu di mana puncanya,” kata Fakhri.

Sebelum ini, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto enggan mengisytiharkan darurat bencana kebangsaan bagi membolehkan dana kecemasan disalurkan, dan turut menolak bantuan antarabangsa dengan menyifatkan keadaan di wilayah tersebut sebagai terkawal.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×