Malaysia tarik balik kes fitnah terhadap penulis Australia di Thailand

Malaysia tarik balik kes fitnah terhadap penulis Australia di Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Malaysia menarik balik aduan fitnah jenayah yang difailkan di Thailand terhadap seorang penulis Australia selepas beliau bersetuju memohon maaf dan menurunkan artikel yang dianggap memfitnah itu.

Kumpulan hak asasi manusia dan kebebasan media sebelum ini mengecam pertuduhan yang dibawa tahun lalu terhadap Murray Hunter, susulan aduan daripada pengawal selia komunikasi Malaysia dan menyifatkan tindakan undang-undang itu sebagai ancaman rentas sempadan terhadap kebebasan bersuara.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memfailkan saman terhadap Hunter yang menetap di Thailand berhubung empat artikel yang diterbitkan di blog Substack miliknya pada April 2024.

Suruhanjaya itu mendakwa tulisan Hunter yang menuduh ia menyalahgunakan kuasa, menyekat laman web kritikal secara tidak sah serta melemahkan demokrasi adalah bersifat memfitnah.

Hunter ditahan pada September 2025 di lapangan terbang Bangkok ketika cuba menaiki penerbangan, menurut Thai Lawyers for Human Rights yang mewakili pembelaan undang-undangnya.

Beliau ditahan semalaman sebelum dibebaskan dengan jaminan, namun pasportnya dirampas.

Pertuduhan fitnah jenayah itu membawa hukuman maksimum penjara dua tahun dan denda sehingga 200,000 baht (RM24,969).

Bagaimanapun, Hunter dan MCMC mencapai penyelesaian bulan lalu, dengan Hunter mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka serta menurunkan artikel yang didakwa memfitnah daripada blognya.

“Dalam proses mediasi, saya tidak dapat berunding secara setara kerana saya berdepan pertuduhan jenayah, sedangkan mereka tidak,” kata Hunter, 68, kepada AFP pada Selasa.

Peguamnya di Thailand, Akarachai Chaimaneekarakate berkata, MCMC menarik balik kedua-dua kes saman sivil di Malaysia dan kes fitnah jenayah di Thailand susulan mediasi tersebut.

Kumpulan kebebasan bersuara PEN International mengalu-alukan penyelesaian kes itu, namun menyuarakan kebimbangan  ia merupakan tindakan undang-undang strategik terhadap penyertaan awam (SLAPP) rentas negara yang melibatkan tindakan sivil dan jenayah terkoordinasi merentas bidang kuasa.

Kumpulan itu menyatakan penentangan terhadap penggunaan undang-undang fitnah jenayah dan saman strategik untuk membungkam penulis dan wartawan, serta menggesa kerajaan tidak menggunakan undang-undang fitnah untuk menyekat ekspresi berkepentingan awam atau membolehkan penindasan rentas sempadan.

Hunter berkata, beliau kini merancang menulis buku mengenai kes SLAPP dan bekerjasama dengan peguam hak asasi Thailand untuk berusaha meminda undang-undang supaya fitnah di negara itu tidak lagi menjadi kesalahan jenayah.

“Saya benar-benar tidak mahu mana-mana wartawan melalui apa yang saya lalui. Saya tidak mahu orang lain terperangkap dalam situasi ini,” katanya.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN