Imej satelit kesan lokasi kapal perang, jet pejuang AS berhampiran Iran

Imej satelit kesan lokasi kapal perang, jet pejuang AS berhampiran Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Imej satelit yang dikeluarkan BBC Verify mengesahkan lokasi kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat (AS), USS Abraham Lincoln berhampiran Iran ketika Washington terus meningkatkan tekanan terhadap negara itu berhubung program ketenteraan serta tindakan keras terhadap penunjuk perasaan baru-baru ini.

Pegawai AS dan Iran bertemu di Switzerland pada Selasa untuk pusingan kedua rundingan.

Iran menyatakan pertemuan itu akan memberi tumpuan kepada program nuklearnya serta kemungkinan pelonggaran sekatan ekonomi yang dikenakan AS, manakala Washington sebelum ini memberi bayangan mahu membincangkan isu lain juga.

Kapal USS Abraham Lincoln yang mengetuai kumpulan serangan bersama tiga kapal pemusnah peluru berpandu berpandu, membawa kira-kira 90 pesawat termasuk jet pejuang F-35 Lightning II serta 5,680 anggota kru.

Kapal itu dilaporkan dikerahkan ke rantau Teluk pada akhir Januari tetapi baru kini kelihatan dalam imej satelit di luar pesisir Oman, kira-kira 700 kilometer dari Iran.

AS turut dilaporkan menghantar kapal perang terbesar dunia, USS Gerald R. Ford ke Asia Barat dan dijangka tiba dalam tempoh tiga minggu akan datang.

Imej yang tersedia kepada umum daripada satelit Eropah Sentinel-2 menunjukkan kapal itu berada di Laut Arab, kira-kira 240 kilometer dari pesisir Oman.

Secara keseluruhan, sebanyak 12 kapal AS di rantau itu berjaya dijejaki termasuk kapal pemusnah Arleigh Burke-class destroyer serta aset lain yang ditempatkan di pangkalan tentera laut di Bahrain, Mediterranean timur berhampiran Souda Bay dan di Laut Merah.

Pergerakan pesawat AS juga menunjukkan peningkatan jet pejuang F-15 Eagle dan EA-18G Growler di Pangkalan Udara Muwaffaq Salti di Jordan serta pertambahan pesawat kargo, pengisian minyak dan komunikasi menuju ke Asia Barat dari AS dan Eropah.

Sementara itu, Markas Pemerintah Pusat AS (CENTCOM) mengeluarkan imej pada 6 Februari yang menunjukkan USS Abraham Lincoln diiringi kapal pemusnah, jet pejuang, pesawat pengawasan serta kapal pengawal pantai di Laut Arab.

Ia dilihat sebagai demonstrasi kekuatan ketenteraan yang dibalas Iran dengan tindakan serupa.

Pada Isnin, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) melancarkan latihan maritim di Selat Hormuz, laluan perairan di Teluk antara Oman dan Iran.

Latihan itu menyaksikan Ketua Komander IRGC, Mohammad Pakpour meninjau kapal tentera laut di pelabuhan sebelum peluru berpandu dilihat dilancarkan dari sebuah kapal, menurut laporan Tasnim News Agency.

Selat itu dianggap antara laluan perkapalan paling penting di dunia serta titik sempit kritikal bagi transit minyak global.

Sekitar satu perlima aliran minyak dan gas dunia melalui kawasan berkenaan, termasuk eksport dari Pulau Kharg, terminal eksport minyak utama Iran.

Pakpour turut dilihat terbang menggunakan helikopter di atas pulau itu dalam laporan yang memaparkan pergerakan ketenteraan terbaharu Iran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN