ICC namakan dua senator Filipina sebagai rakan subahat kes Duterte

ICC namakan dua senator Filipina sebagai rakan subahat kes Duterte

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Dua senator yang sedang berkhidmat di Filipina dikenal pasti sebagai ‘pelaku bersama’ dalam perbicaraan jenayah terhadap kemanusiaan bekas presiden, Rodrigo Duterte di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), menurut dokumen yang dikeluarkan pihak pendakwa.

Senator, Ronald Dela Rosa dan Christopher Go merupakan antara lapan pegawai semasa dan bekas pegawai yang dinamakan dalam dokumen bertarikh 13 Februari yang disiarkan di laman web mahkamah.

Go dan Dela Rosa dinamakan sebagai pelaku bersama bagi perbuatan yang berlaku ketika Duterte menjadi datuk bandar dan kemudian presiden.

Bekas Setiausaha Keadilan Filipina, Vitaliano Aguirre II, yang pernah bertindak sebagai peguam Duterte dalam kes berkaitan kumpulan dikenali sebagai Davao Death Squad, turut termasuk dalam lapan individu berkenaan.

Pendakwa ICC mendakwa Duterte atas tiga pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan dan terlibat dalam sekurang-kurangnya 76 pembunuhan sebagai sebahagian daripada kempen perangnya terhadap dadah.

Menurut dokumen pendakwaan, Duterte dan pelaku bersama berkongsi rancangan atau persetujuan untuk menghapuskan individu yang didakwa penjenayah di Filipina termasuk mereka yang dikaitkan dengan penggunaan, penjualan atau pengeluaran dadah melalui jenayah kekerasan termasuk pembunuhan.

Dela Rosa, bekas ketua polis negara yang menguatkuasakan perang dadah Duterte, sebelum ini berkata, beliau percaya berdepan kemungkinan ditangkap dan tidak kelihatan di khalayak sejak beberapa bulan lalu.

Go pula, yang dipilih semula pada Mei dengan kemenangan besar merupakan sekutu rapat Duterte semasa beliau menjadi Datuk Bandar di Davao City serta ketika memegang jawatan Presiden.

Wakil Dela Rosa menyatakan mereka belum melihat dokumen berkenaan, manakala panggilan kepada Go tidak dijawab. Tidak jelas sama ada mana-mana individu yang dinamakan akan berdepan pertuduhan di mahkamah.

Duterte dijadual menghadiri prosiding pengesahan pertuduhan selama empat hari bermula 23 Februari ini, di mana hakim akan menentukan sama ada dakwaan pendakwa cukup kukuh untuk dibicarakan.

Hakim sebelum ini menolak hujah bahawa bekas pemimpin berusia 80 tahun itu yang ditangkap Mac tahun lalu dan dipindahkan ke Belanda pada hari sama tidak layak dibicarakan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN