‘Hutan sejuk’ ketika cuaca panas jadi tumpuan - Utusan Malaysia

‘Hutan sejuk’ ketika cuaca panas jadi tumpuan

SEKUMPULAN orang ramai bersiar-siar di ‘hutan sejuk’ di Pulau Gewan, Qatar. - Foto Pulau Gewan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA:  Sebuah pejalan kaki dilengkapi dengan penyaman udara bagi membolehkan pengunjung bersiar-siar tanpa menanggung bahang matahari yang melampau di Pulau Gewan, di pesisir pantai Doha, Qatar. 

Laluan sepanjang 450 meter itu dikenali sebagai Crystal Walk dan nama tersebut dipilih sempena penggunaan 10 tan kristal yang menghiasi dahan-dahan pokok buatan di luar bangunan.

Keunikan laluan ini terletak pada struktur bumbungnya yang menyerupai rimbunan pohon. 

Selain memberikan teduhan, struktur itu berfungsi memerangkap udara sejuk yang melalui corong udara yang terletak di bahagian bawah.

Sistem canggih ini mampu mengekalkan suhu antara 21 hingga 23 darjah Celsius sepanjang tahun. Ia berjaya dikekalkan walaupun suhu di sekitarnya boleh mencapai setinggi 40 darjah Celsius.

Namun, sistem ini bersifat mesra alam kerana dikuasakan sepenuhnya oleh panel tenaga solar di pulau buatan manusia itu.

Menurut pemandu pelancong kepada laman berita CNN, pelancong-pelancong kini mula membanjiri pulau berkenaan dan rata-ratanya terpukau dengan teknologi hutan buatan tersebut.

Kawasan ini menjadi kegemaran pengguna-pengguna Instagram untuk bergambar berlatarbelakangkan pokok-pokok kristal yang berkilauan. 

Terdapat juga pelbagai paparan menarik seperti landskap seni dan bentuk haiwan di dalam ‘hutan’ tersebut untuk dilihat pengunjung.

Pulau Gewan pada asalnya direka sebagai perluasan kepada The Pearl Island yang merupakan buatan manusia dan menempatkan kawasan kediaman elit, pusat beli-belah mewah dan marina selain kerap digelar sebagai ‘Riviera Arab‘.  – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN