WASHINGTON: Jabatan Perang Amerika Syarikat (AS) mengesahkan telah memintas sebuah lagi kapal tangki minyak di Lautan Hindi yang dipercayai belayar dari Caribbean, dalam satu operasi penguatkuasaan maritim terbaharu.
Menerusi satu hantaran di platform media sosial X pagi semalam, jabatan itu menyatakan bahawa tentera Amerika telah melaksanakan hak lawatan, sekatan maritim dan pemeriksaan mengejut ke atas kapal Veronica III tanpa sebarang insiden di bawah kawasan tanggungjawab Markas Indo-Pasifik AS (INDOPACOM).
“Kami mempertahankan tanah air di barisan hadapan. Jarak tidak akan melindungi anda. Kapal tersebut cuba mengingkari arahan kuarantin Presiden (Donald) Trump dengan harapan dapat meloloskan diri.
“Kami menjejakinya dari Caribbean hingga ke Lautan Hindi, merapatkan jurang dan menyekatnya,” jelas hantaran tersebut yang turut memaparkan video tentera AS berada di atas kapal berkenaan.
Berdasarkan laman penjejakan kapal, MarineTracker, Veronica III merupakan kapal tangki minyak mentah berdaftar di Panama. Data menunjukkan kapal itu berada di tengah-tengah Lautan Hindi, di selatan Indonesia, kira-kira pukul 8 pagi semalam.
Laporan akhbar The New York Times sebelum ini turut mengaitkan kapal tersebut dengan Venezuela dengan mendakwa ia telah belayar dari pelabuhan minyak utama negara itu bulan lalu.
Insiden ini merupakan pintasan kedua dalam tempoh seminggu selepas sebuah lagi kapal tangki minyak ditahan atas dakwaan beroperasi secara haram meskipun tertakluk kepada sekatan kuarantin Trump terhadap kapal-kapal yang disenarai hitam.
Tindakan tegas ini menyusul selepas AS merampas beberapa buah kapal tangki minyak di Caribbean sejak beberapa bulan lalu di tengah-tengah ketegangan serantau yang semakin memuncak.
Sebelum ini, tentera AS juga dilaporkan telah menangkap pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro, manakala Trump terus menekan Cuba untuk mencapai kesepakatan dengan AS.
“Perairan antarabangsa bukanlah tempat perlindungan. Sama ada melalui darat, udara atau laut, kami akan mencari anda dan menegakkan keadilan.
“Jabatan Perang akan menyekat kebebasan bergerak pelaku haram dan proksi mereka,” tegas jabatan tersebut. – AGENSI










