TRIPOLI: Jenazah anak kepada bekas pemerintah Libya, Muammar Qaddafi yang maut ditembak akan dikebumikan di sebuah bandar di selatan ibu negara itu yang masih setia kepada keluarganya.
Seif Al-Islam Qaddafi, yang dahulunya dianggap oleh sesetengah pihak sebagai waris takhta Libya, dilaporkan maut ditembak pada Selasa di bandar Zintan yang terletak di barat laut negara tersebut.
Menurut kenyataan dua saudara lelakinya, majlis pengebumian akan diadakan hari ini di bandar Bani Walid, kira-kira 175 kilometer ke selatan Tripoli.
Abang tirinya, Mohamed Qaddafi memaklumkan menerusi hantaran di Facebook tarikh dan lokasi pengebumian telah diputuskan melalui persetujuan bersama ahli keluarga.
Mohamed berkata, pemilihan lokasi tersebut mencerminkan rasa hormat keluarga terhadap bandar berkenaan yang tetap setia kepada pengaruh bapa mereka, meskipun bertahun-tahun selepas Muammar digulingkan dan dibunuh dalam kebangkitan Arab Spring pada 2011.
Bandar yang mempunyai kira-kira 100,000 penduduk itu dikenali kerana sering meraikan ulang tahun rampasan kuasa 1969 yang membawa Muammar ke puncak kuasa, malah penduduknya kerap berarak membawa potret bekas pemimpin itu.
Adik Seif Al-Islam, Saadi Qaddafi menyatakan abangnya akan dikebumikan dalam kalangan kaum Werfalla, iaitu sebuah suku tempatan yang berpengaruh, bersebelahan dengan kubur seorang lagi saudara mereka, Khamis Qaddafi, yang terkorban semasa pergolakan tahun 2011.
Peguam dari Perancis yang mewakili Seif Al-Islam, Marcel Ceccaldi memberitahu agensi berita AFP, anak bekas pemimpin itu dibunuh oleh satu unit komando yang terdiri daripada empat lelaki yang tidak dikenali selepas menyerbu rumahnya pada Selasa.
Semasa era pemerintahan bapanya selama 40 tahun, Seif Al-Islam dianggap sebagai perdana menteri de facto yang cuba menonjolkan imej sederhana dan cenderung kepada reformasi.
Namun reputasi itu runtuh apabila beliau menjanjikan ‘sungai darah’ sebagai tindak balas terhadap pemberontakan 2011.
Beliau pernah ditangkap pada tahun yang sama atas waran yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan. Walaupun sebuah mahkamah di Tripoli pernah menjatuhkan hukuman mati ke atasnya, beliau kemudiannya diberikan pengampunan.
Pada 2021, Seif Al-Islam mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan Presiden, namun pilihan raya tersebut ditangguhkan tanpa tempoh had.
Seif Al-Islam meninggalkan empat orang adik-beradik iaitu Mohamed, Saadi, Aicha, dan Hannibal, yang baru-baru ini dibebaskan dari penjara Lubnan dengan jaminan. -AFP









