ADEN: Pasukan kerajaan Yemen yang disokong Arab Saudi berjaya merampas semula wilayah Hadramout dan al-Mahra daripada Majlis Peralihan Selatan (STC) disokong Emiriah Arab Bersatu (UAE), ketika ketegangan antara kuasa serantau Teluk terus memuncak.
Perkara it disahkan Ketua Majlis Kepimpinan Presiden (PLC) Yemen yang diiktiraf antarabangsa, Rashad al-Alimi dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pasukan Homeland Shield yang disokong Arab Saudi mencapai kejayaan ‘luar biasa’ dengan merampas semula semua kedudukan ketenteraan dan keselamatan di wilayah yang bersempadan dengan Arab Saudi, susulan operasi yang dilancarkan sehari sebelumnya.
Kerajaan Yemen turut mengumumkan mereka telah mengambil alih semula kawalan ke atas Mukalla, pelabuhan utama di timur negara itu dan ibu negeri wilayah Hadramout daripada STC yang menawan bandar tersebut bulan lalu.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, pasukan disokong Arab Saudi melancarkan serangan ke atas kedudukan STC di kawasan itu.
Sumber kerajaan memberitahu Al Jazeera Arabic, pasukan kerajaan Yaman kini menguasai semua daerah di Hadramout, wilayah terbesar di negara itu.
Pengarah Jabatan Belia Wilayah al-Mahra, Mohammed Omar Suwailam turut memberitahu agensi berita Anadolu, pasukan Homeland Shield mengambil alih kesemua sembilan daerah di wilayah al-Mahra selepas pengunduran pasukan STC.
Sejak Selasa, Yemen menyaksikan peningkatan ketegangan yang belum pernah berlaku sebelum ini selepas STC menguasai Hadramout dan al-Mahra pada awal Disember. Kedua-dua wilayah itu meliputi hampir separuh daripada keluasan Yemen dan berkongsi sempadan dengan Arab Saudi.
Sejak Jumaat, sekurang-kurangnya 80 pejuang STC dilaporkan terbunuh sementara sekurang-kurangnya 152 anggota cedera, manakala 130 lagi ditawan dalam pertempuran dengan pasukan yang disokong Arab Saudi.
Bagaimanapun, STC menyambut baik tawaran dialog daripada Arab Saudi, menyifatkannya sebagai peluang tulen yang boleh melindungi aspirasi rakyat selatan.
Sumber tempatan turut memaklumkan kehidupan beransur-ansur kembali normal di bandar Seiyun di wilayah Hadramout, apabila aktiviti kerja disambung semula sebagai sebahagian usaha mengaktifkan semula institusi negara dan memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Namun, ketegangan dilaporkan masih berterusan di beberapa kawasan lain di selatan Yemen.










