Trump rangka plot keganasan di Iran, Teheran enggan berunding di bawah tekanan

Trump ‘rangka’ plot keganasan di Iran, Teheran enggan berunding di bawah tekanan

PENUNJUK perasaan membakar bendera Amerika Syarikat (AS) dan Israel semasa demonstrasi menentang ancaman ketenteraan Washington berhampiran kedutaan Iran di Baghdad.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Ancaman perang antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran dilihat semakin hampir selepas Presiden Donald Trump didakwa sedang mempertimbangkan beberapa pilihan terhadap Teheran, termasuk serangan yang disasarkan ke atas pasukan keselamatan serta pemimpin negara itu.

Langkah itu dipertimbangkan meskipun pegawai Israel dan Arab menegaskan kuasa udara semata-mata tidak mencukupi untuk menggulingkan pemerintah ulama Iran.

Dua sumber AS yang mengetahui strategi tersebut mendakwa, Trump mahu mewujudkan keadaan untuk ‘perubahan rejim’ selepas tindakan keras pihak berkuasa Iran menumpaskan gerakan protes di seluruh negara awal bulan ini.

Bagi tujuan itu, Presiden AS meneliti pilihan untuk menyerang komander dan institusi yang dianggap Washington sebagai bertanggungjawab terhadap keganasan berkenaan, untuk menghasut penunjuk perasaan supaya mereka boleh menguasai bangunan kerajaan serta keselamatan, menurut sumber tersebut.

Seorang sumber mendakwa, pilihan yang dibincangkan oleh pembantu Trump turut merangkumi serangan berskala lebih besar untuk memberi kesan jangka panjang, termasuk kemungkinan menyasarkan peluru berpandu balistik yang mampu mencapai sekutu AS di Asia Barat atau program pengayaan nuklear Iran.

Dalam satu hantaran di media sosial kelmarin, Trump berkata, armada yang diketuai kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln adalah lebih besar daripada yang dihantar ke Venezuela sebelum penyingkiran Nicolas Maduro awal bulan ini.

Beliau menegaskan bersedia untuk melaksanakan misinya dengan pantas dan menggunakan kekerasan jika perlu.

“Diharapkan Iran akan segera ‘duduk semeja’ dan merundingkan perjanjian yang adil dan saksama, tiada senjata nuklear, baik untuk semua pihak. Masa semakin suntuk, keadaan sangat kritikal.

“Saya pernah beritahu Iran sebelum ini, buat perjanjian! Mereka tidak berbuat demikian dan berlakulah ‘Operasi Midnight Hammer’, yang mengakibatkan kemusnahan besar ke atas Iran. Serangan seterusnya akan lebih dahsyat, jangan biarkan perkara itu berulang,” ugut Trump.

Seorang lagi sumber AS mendakwa, Trump masih belum memuktamadkan tindakan yang akan diambil, termasuk pilihan melalui ketenteraan.

Terdapat spekulasi Trump sebenarnya mengambil langkah berhati-hati kerana AS tidak mempunyai aset ketenteraan mencukupi di rantau itu, manakala negara Teluk menggesa supaya bertenang dan Israel menasihatkan ia memerlukan lebih banyak masa untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan tindakan balas daripada Iran.

RUNDINGAN TANPA UGUTAN

Diplomat Eropah menjangkakan krisis akan tercetus pada hujung minggu dan mengesan tanda-tanda kebimbangan Israel terhadap skala kemungkinan tindakan balas Iran.

Penasihat kanan kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei memberi amaran sebarang tindakan ketenteraan oleh AS akan dianggap sebagai permulaan perang.

“Tindak balasnya juga akan lebih cepat, menyeluruh dan belum pernah berlaku, serta disasarkan kepada pihak penceroboh, ke tengah-tengah Tel Aviv dan penyokongnya,” kata Ali Shamkhani dalam hantaran di media sosial.

Negara-negara Teluk serta Turkiye dilaporkan mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pihak bagi mencari titik persamaan antara Iran dan AS, namun Teheran menegaskan ia tidak akan berunding di bawah tekanan atau dengan prasyarat.

Utusan khas Trump, Steve Witkoff berkata pada Forum Ekonomi Dunia di Davos, satu perjanjian dengan Iran sepatutnya dimeterai.

“Jelas sekali perjanjian itu berkaitan dengan peluru berpandu, pengayaan (uranium), proksi pelaku bukan negara serta simpanan bahan nuklear Iran,” katanya kepada CNBC.

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, semakin jelas Trump bukan sahaja berminat untuk mengekang saki-baki program nuklear Iran yang sudah pun terjejas, tetapi juga keupayaannya melancarkan peluru berpandu jarak jauh, yang selama ini dianggap sebagai teras kuasa ketenteraan Teheran.

Sebelum ini, Trump turut mencadangkan Ali Khamenei untuk berundur daripada pentas dunia, tuntutan yang dijangka ditolak oleh Iran.

Sebahagian pihak melihat peningkatan mendadak ancaman itu sekadar untuk mengalihkan perhatian terhadap tekanan politik dalaman terhadap Trump, susulan keganasan oleh pegawai keselamatan di Minnesota.

Misi Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York berkata, kali terakhir AS tersilap langkah dan terjerumus ke dalam peperangan di Afghanistan serta Iraq, menyebabkan ia kerugian AS$7 trilion (RM27.5 trilion) dengan lebih 7,000 nyawa rakyat Amerika terkorban.

Iran bersedia untuk berdialog berdasarkan nilai hormat dan kepentingan bersama, namun jika didesak, ia akan mempertahankan diri serta bertindak balas dalam apa juga keadaan.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, beliau tidak bersedia untuk berunding di bawah ugutan, tetapi sanggup mengadakan perbincangan tanpa prasyarat, dengan pendirian itu sudah disampaikan kepada Witkoff.

“Tentera kami sentiasa dalam keadaan bersiap sedia untuk bertindak balas serta-merta terhadap sebarang pencerobohan darat, udara dan laut.

“Pada masa sama, Iran sentiasa mengalu-alukan perjanjian nuklear yang saling menguntungkan, adil dan saksama, bebas daripada paksaan dan ugutan, yang menjamin hak Iran terhadap teknologi nuklear untuk tujuan aman, serta memastikan tiada senjata nuklear,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×