Trump ancam kenakan tarif terhadap negara bekal minyak ke Cuba

Trump ancam kenakan tarif terhadap negara bekal minyak ke Cuba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif terhadap mana-mana negara yang membekalkan minyak ke Cuba, ketika Washington mempertingkatkan tekanan terhadap negara Caribbean tersebut.

Cadangan pengenalan levi baharu itu digariskan dalam satu perintah eksekutif, meskipun perincian mengenai kadar tarif spesifik atau senarai negara yang bakal menjadi sasaran masih belum didedahkan.

Trump sebelum ini berulang kali mengeluarkan ancaman terhadap Cuba dan kepimpinan komunisnya.

Pada Selasa, Trump mendakwa Cuba akan tumbang tidak lama lagi memandangkan sekutu lamanya, Venezuela, tidak lagi menghantar bekalan minyak atau dana ke negara itu selepas Presiden, Nicolas Maduro ditahan oleh tentera AS pada 3 Januari lalu.

Sebelum ini, Venezuela dipercayai menghantar kira-kira 35,000 tong minyak sehari ke Cuba.

Dalam perintah eksekutif pada Khamis, Trump menyatakandasar, amalan, dan tindakan kerajaan Cuba membentuk ancaman luar biasa terhadap AS. Beliau turut menuduh Havana melindungi musuh berbahaya AS.

Tarif tersebut dilaporkan bakal menyasarkan negara-negara yang secara langsung atau tidak langsung menjual atau menyediakan sebarang bekalan minyak kepada Cuba.

Trump sebelum ini mengarahkan Cuba untuk mengadakan perjanjian sebelum terlambat, namun beliau tidak memperincikan terma perjanjian tersebut mahupun kesan yang bakal dihadapi oleh negara kepulauan itu.

Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel dalam reaksinya berkata Washington tidak mempunyai autoriti moral untuk memaksa sebarang perjanjian ke atas negaranya.

Taktik pentadbiran Trump yang merampas kapal tangki minyak Venezuela yang disekat telah mula memburukkan lagi krisis bahan api dan elektrik di Cuba.

Negara itu kini berdepan gangguan bekalan elektrik secara bergilir-gilir, menyebabkan rakyatnya bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup tanpa bekalan tenaga yang stabil.

Menteri Luar Cuba, Bruno Rodriguez baru-baru ini menegaskan negaranya mempunyai hak mutlak untuk mengimport bahan api daripada mana-mana pengeksport tanpa gangguan atau tunduk kepada tindakan paksaan sepihak oleh AS. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×