Protes baharu di Iran ragut enam nyawa

Protes baharu di Iran ragut enam nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Sekurang-kurangnya enam orang dilaporkan terbunuh apabila penunjuk perasaan bertempur dengan pasukan keselamatan di beberapa bandar di Iran ketika demonstrasi membantah kos sara hidup terus merebak ke seluruh negara.

Protes berkenaan bermula Ahad lalu di Teheran, apabila peniaga melancarkan mogok bagi membantah kenaikan harga dan kemelesetan ekonomi, sebelum merebak ke beberapa wilayah lain di negara itu.

Pada Khamis, agensi berita Fars melaporkan, dua orang terbunuh dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan di bandar Lordegan, wilayah Chaharmahal dan Bakhtiari, manakala tiga lagi maut di Azna, di wilayah Lorestan yang bersebelahan.

“Sebahagian penunjuk perasaan mula membaling batu ke arah bangunan pentadbiran bandar, termasuk pejabat gabenor wilayah, masjid, Yayasan Syuhada, dewan bandar raya serta bank. Polis bertindak balas dengan melepaskan gas pemedih mata,” lapor Fars.

Agensi itu turut melaporkan beberapa bangunan mengalami kerosakan teruk dan polis menahan beberapa individu yang disifatkan sebagai dalang utama kejadian.

Di Azna pula, Fars melaporkan perusuh mengambil kesempatan daripada perhimpunan protes untuk menyerang sebuah balai polis.

Terdahulu pada Khamis, televisyen kerajaan melaporkan seorang anggota pasukan keselamatan Iran terbunuh dalam kejadian protes pada waktu malam di bandar Kouhdasht, di barat negara itu.

Di bandar Hamedan, penunjuk perasaan membakar sebuah motosikal dalam insiden yang disifatkan oleh agensi berita Tasnim sebagai cubaan gagal untuk membakar sebuah masjid.

Agensi yang sama turut melaporkan pada Khamis, 30 individu ditahan di satu daerah di Teheran pada malam sebelumnya atas dakwaan kesalahan berkaitan ketenteraman awam, hasil operasi bersepadu oleh pasukan keselamatan dan perisikan.

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, berusaha meredakan ketegangan dengan mengakui tuntutan sah penunjuk perasaan, sambil menggesa kerajaan mengambil langkah segera untuk memperbaiki keadaan ekonomi.

“Dari perspektif Islam, jika kita gagal menyelesaikan isu sara hidup rakyat, kita akan berakhir di neraka,” kata Pezeshkian dalam satu majlis yang disiarkan di televisyen kerajaan pada Khamis.

Bagaimanapun, pihak berkuasa turut berikrar untuk mengambil pendirian tegas dan memberi amaran agar keadaan tidak dieksploitasi untuk mencetuskan kekacauan.

Awal minggu ini, satu video tular di media sosial menunjukkan seorang individu duduk di tengah jalan di Teheran berdepan pasukan polis bermotosikal, dengan sebahagian pihak menyifatkannya sebagai ‘detik Tiananmen’ yang merujuk imej ikonik seorang penunjuk perasaan China berdepan barisan kereta kebal semasa protes anti-kerajaan di Beijing pada 1989.

Pada Khamis, televisyen kerajaan mendakwa rakaman itu direka untuk mencipta simbol dan menyiarkan satu lagi video yang kononnya dirakam dari sudut berbeza oleh kamera seorang anggota polis.

Dalam rakaman tersebut, penunjuk perasaan itu duduk bersila, kelihatan tenang dengan kepala tunduk, sebelum menutup kepalanya menggunakan jaket ketika orang ramai di belakangnya melarikan diri daripada kepulan gas pemedih mata.

Pada Rabu malam, Tasnim melaporkan penahanan tujuh individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan yang memusuhi Republik Islam berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Agensi itu mendakwa mereka diarahkan untuk menukar demonstrasi kepada keganasan, namun tidak menyatakan tarikh penahanan dilakukan.

Nilai mata wang nasional, rial, merosot lebih satu pertiga berbanding dolar AS sepanjang tahun lalu, manakala inflasi dua digit yang berpanjangan terus menjejaskan kuasa beli rakyat Iran.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×