AMSTERDAM: Polis di Belanda berdepan keganasan yang disifatkan sebagai ‘luar biasa’ pada sambutan malam Tahun Baru, apabila anggota keselamatan diserang dan dibaling bunga api serta bahan letupan.
Pada awal pagi hari Tahun Baru, sebuah gereja bersejarah abad ke-19 di Amsterdam terbakar, namun punca kejadian masih belum dikenal pasti.
Gereja Vondelkerk yang terletak berhampiran Vondelpark itu dibina pada 1872 dan menjadi antara tarikan pelancong utama di bandar berkenaan.
Di lokasi lain di Belanda, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dan seorang lelaki berumur 38 tahun dilaporkan maut dalam insiden berkaitan bunga api.
Sementara itu di Bielefeld, Jerman, polis tempatan memaklumkan dua remaja lelaki berusia 18 tahun maut selepas menyalakan bunga api buatan sendiri.
Ketua Kesatuan Polis Belanda, Nine Kooiman berkata, beliau sendiri dibaling bunga api dan bahan letupan ketika bertugas di Amsterdam, sambil menyifatkan tahap keganasan yang berlaku sebagai belum pernah disaksikan sebelum ini.
Laporan serangan terhadap polis dan anggota bomba diterima di seluruh negara.
Di bandar Breda, bom petrol dilontarkan ke arah polis, manakala di Rotterdam, sebuah hospital pakar mata merawat 14 pesakit termasuk 10 kanak-kanak akibat kecederaan mata, dengan dua daripadanya menjalani pembedahan.
Di Amsterdam, menara setinggi 50 meter Gereja Vondelkerk dilaporkan runtuh dengan pihak berkuasa memaklumkan bumbung rosak teruk namun struktur utama bangunan dijangka kekal kukuh.
Gereja neo-Gothic itu direka oleh arkitek terkenal Pierre Cuypers yang turut mereka bentuk Muzium Rijksmuseum.
Larangan terhadap penggunaan bunga api tidak rasmi dijadualkan berkuat kuasa pada 2026. Menurut Persatuan Piroteknik Belanda, perbelanjaan terhadap bunga api tahun ini mencecah rekod €129 juta (RM615 juta). – AGENSI










