Machado serah pingat Nobel kepada Trump, puji komitmen kebebasan Venezuela

Machado serah pingat Nobel kepada Trump, puji komitmen kebebasan Venezuela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pemimpin pembangkang Venezuela, María Corina Machado menyerahkan pingat Hadiah Nobel Keamanan miliknya kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebagai usaha meraih sokongan pemimpin Republikan itu yang sebelum ini mengabaikannya selepas penggulingan Nicolás Maduro.

“Saya menyerahkan pingat Hadiah Nobel Keamanan kepada Presiden AS,” kata Machado kepada pemberita di luar US Capitol, selepas makan tengah hari bersama Trump di Rumah Putih.

Beliau menegaskan ia adalah pengiktirafan terhadap komitmen unik Trump dengan kebebasan rakyat Venezuela.

Trump menyifatkan langkah itu sebagai usaha saling menghormati, tetapi belum jelas sama ada beliau menyimpan pingat tersebut selepas pertemuan tertutup itu.

Jawatankuasa Nobel Norway menegaskan hadiah mereka tidak boleh dipindahkan secara rasmi.

Dalam temu bual dengan Fox News, Machado berkata, Trump layak menerimanya, dan ia adalah detik yang sarat dengan emosi.

Walaupun begitu, Trump masih menyokong Naib Presiden Maduro, Delcy Rodriguez, berbanding Machado, selagi beliau mematuhi garis panduan Washington, terutamanya berkaitan akses kepada rizab minyak Venezuela.

Hadiah Nobel Keamanan 2025 itu diberikan kepada Machado, yang muncul di Oslo bulan lepas untuk menerima anugerah selepas melarikan diri dari Venezuela dengan bot. Beliau kemudian mendedikasikan pingat itu kepada Trump.

Pembangkang Venezuela mendakwa dan membentangkan bukti Maduro merampas keputusan pilihan raya 2024 daripada calon parti Machado, Edmundo Gonzalez Urrutia, dakwaan yang disokong Washington.

Namun Trump berpendapat Machado tidak mendapat sokongan mencukupi di kalangan rakyat Venezuela dan memilih untuk kekal bersama Rodriguez, penyokong setia Maduro.

Trump dan Rodriguez membuat panggilan telefon pertama mereka pada Rabu, dan Rumah Putih berkata, beliau gembira dengan apa yang dilihat pada pemimpin interim Venezuela itu.

Namun Rodriguez menegaskan, kerajaan beliau tidak takut untuk berdepan pertelingkahan diplomatik dengan Washington.

“Kami tahu mereka (AS) sangat berkuasa. Mereka adalah kuasa nuklear besar, tetapi kami tidak takut untuk berdepan secara diplomatik melalui dialog politik,” kata Rodriguez. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×