Lelaki Michigan lamar kekasih dalam tangki jerung

Lelaki Michigan lamar kekasih dalam tangki jerung

DAVID Balasa (kiri) melamar kekasihnya, Haley Wiewiora dalam tangki ikan jerung di Muzium dan Akuarium Hidupan Liar Kebangsaan Wonders di Springfield, Missouri.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MISSOURI: Seorang lelaki dari Michigan memilih cara luar biasa untuk melamar kekasihnya, dengan menyelam ke dalam tangki dipenuhi ikan jerung di Muzium dan Akuarium Hidupan Liar Kebangsaan Wonders di Springfield, Missouri.

Menurut laporan Springfield News-Leader, lamaran pada 15 Disember lalu itu merupakan kemuncak kepada kembara merentasi beberapa negeri di Midwest yang dirancang David Balasa sebagai hadiah Krismas buat kekasihnya, Haley Wiewiora.

Wiewiora pada mulanya menyangka aktiviti tersebut hanyalah sekadar memenuhi senarai impian, namun sebenarnya ia adalah sebuah pelan lamaran kejutan yang dirancang rapi oleh Balasa selama berbulan-bulan.

Malah, penglibatan seluruh pasukan akuarium tersebut dalam kejutan itu langsung tidak dihidu olehnya.

Menariknya, selari dengan tema hidupan laut, Balasa melamar menggunakan kotak yang berisi gigi ikan jerung dan bukannya cincin berlian, bagi mengelakkan barang kemas yang mahal itu hilang di dalam air.

“Saya memang tidak sangka lamaran akan berlaku ketika kami memakai baju renang Speedo. Dia selalu kata akan lakukannya apabila tiba masa yang tepat. 

“Rupanya inilah maksudnya. Kami memang sukakan air malah kami ada janji untuk menari setiap kali hujan turun,” jelas Wiewiora.

Kegembiraan pasangan yang pertama kali bertemu melalui aplikasi janji temu Hinge itu bertambah apabila Wiewiora menyedari ahli keluarganya turut hadir menyaksikan detik bersejarah itu dari ruang pemerhatian akuarium. 

Selepas keluar dari tangki air, tersebut Balasa kemudian menyerahkan cincin pertunangan sebenar yang direka khas menggunakan berlian daripada cincin nenek Wiewiora.

Ia turut disertakan batu kelahiran mendiang abangnya, dengan sedikit abu mayat abangnya diletakkan di bahagian belakang batu tersebut sebagai tanda peringatan.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×