ADEN: Kumpulan pemisah Yemen berkata, mereka terputus hubungan dengan satu delegasi kanan yang berlepas ke Riyadh untuk rundingan pada Rabu, susulan pertempuran di selatan negara itu.
Lebih 50 anggota Majlis Peralihan Selatan (STC) dilaporkan tidak dapat dihubungi oleh rakan mahupun ahli keluarga sejak tiba di ibu negara Arab Saudi, menurut seorang pegawai.
“Saksi melihat kumpulan berkenaan menaiki sebuah bas hitam di Lapangan Terbang Riyadh.
“Ia merupakan delegasi peringkat tinggi termasuk menteri pertahanan, beberapa menteri serta anggota kepimpinan STC. Sehingga kini, kami tidak menerima sebarang berita daripada mereka.
“Kami cuba menghubungi berulang kali tetapi tidak mendapat sebarang respons,” kata pegawai kanan STC, Amr Al Bidh kepada wartawan menerusi panggilan video.
AFP tidak berjaya mendapatkan komen daripada Kementerian Luar Arab Saudi.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat Rabu malam, STC menuduh pihak berkuasa Arab Saudi menahan delegasi itu secara sewenang-wenangnya dan membawa mereka ke lokasi yang tidak diketahui.
“Kami menuntut pembebasan segera mereka dan meletakkan tanggungjawab terhadap keselamatan mereka ke atas Arab Saudi,” menurut kenyataan itu.
Delegasi tersebut berlepas atas permintaan Riyadh selepas satu serangan oleh kumpulan pemisah yang disokong Emiriah Arab Bersatu (UAE) dipatahkan oleh serangan udara Arab Saudi serta pasukan darat pro-Saudi.
Selepas pemimpin STC, Aidaros Alzubidi enggan menyertai penerbangan berkenaan, gabungan pimpinan Arab Saudi yang dibentuk untuk menentang pemberontak Houthi di Yemen melancarkan serangan udara ke atas wilayah asalnya, mengorbankan tujuh orang menurut sumber hospital.
Al Bidh berkata, satu hantaran di platform X dari Riyadh oleh akaun milik seorang anggota delegasi tidak dianggap sebagai komunikasi yang sah. Telefon bimbit para delegasi sama ada dimatikan atau panggilan tidak dijawab.
“Kami tidak dapat menghubungi seorang pun daripada lebih 50 anggota delegasi. Itu amat membimbangkan,” tambahnya.
Dalam satu kenyataan berasingan, STC menuntut pihak berkuasa Arab Saudi menjamin keselamatan delegasinya yang kini berada di Riyadh.
“Kami menyeru seluruh masyarakat antarabangsa supaya memberi tekanan bagi memastikan delegasi kami selamat,” tambah Al Bidh. -AFP










