Komik Superman terawal dijual RM61 juta

Komik Superman terawal dijual RM61 juta

EDISI terhad Action Comics No. 1 yang memperkenalkan watak Superman dikeluarkan pada 1938.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Sebuah salinan komik edisi terhad terbitan 1938 yang memperkenalkan watak Superman buat kali pertama dijual kepada seorang pengumpul dengan harga AS$15 juta (RM61.17 juta), sekali gus mencatat rekod baharu penjualan bagi siri tersebut.

Penjualan secara persendirian Action Comics No. 1  yang dahulu pernah dicuri dari kediaman pelakon Hollywood, Nicolas Cage, sebelum dipulangkan semula kepadanya lebih sedekad kemudian, diumumkan pada Jumaat.

Rekod sebelum ini bagi jualan komik paling mahal dicatatkan pada November tahun lalu apabila Superman No. 1 dalam keadaan hampir sempurna dijual pada harga AS$9.12 juta (RM37.19 juta) dalam satu lelongan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Kedua-dua harga tersebut jauh mengatasi harga asal komik itu yang hanya 10 sen atau bersamaan kira-kira AS$2.25 (RM9.17) pada nilai hari ini.

Kemunculan pertama Superman merupakan antara kisah yang dimuatkan dalam Action Comics No. 1, yang secara meluas dianggap sebagai karya terawal mentakrifkan genre adiwira seperti dikenali hari ini. Dianggarkan kurang daripada 100 salinan komik tersebut masih wujud.

Penjualan Action Comics No. 1 pada Jumaat itu dirundingkan oleh firma berpangkalan di New York, Metropolis Collectibles/ComicConnect, yang memaklumkan pemilik dan pembeli komik tersebut memilih untuk tidak mendedahkan nama mereka.

Menurut broker berkenaan, komik itu menerima penilaian sembilan daripada maksimum 10 mata oleh Certified Guaranty Company, sebuah badan yang mengesahkan keaslian barangan koleksi, sekali gus menjadikannya antara salinan dengan gred tertinggi yang pernah direkodkan.

Nilai komik itu turut meningkat berikutan sejarah uniknya yang dikaitkan dengan bintang Hollywood, Nicolas Cage.

Pelakon filem Con Air dan National Treasure itu membeli salinan berkenaan pada tahun 1996 dengan harga AS$150,000 (RM611,726), yang merupakan satu rekod pada ketika itu.

Namun, komik tersebut dicuri semasa satu majlis di rumah Cage pada tahun 2000 dan hanya ditemui semula pada 2011 di dalam sebuah unit simpanan di California. Enam bulan kemudian Cage menjualnya dalam satu lelongan pada harga AS$2.2 juta (RM8.97 juta).

“Dalam tempoh 11 tahun itu, nilainya melonjak secara mendadak. Pencuri tersebut secara tidak langsung menjadikan Cage seorang yang lebih kaya dengan mencuri komik itu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Metropolis/ComicConnect, Stephen Fishler.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×