BUENOS AIRES: Kebakaran hutan besar di selatan Argentina memusnahkan lebih 5,500 hektar, menurut pihak berkuasa ketika ratusan anggota bomba dan sukarelawan berusaha mengawal api yang mengancam komuniti kecil.
Kebakaran bermula pada Isnin di Puerto Patriada, kira-kira 1,700 kilometer (km) di barat daya Buenos Aires di wilayah Patagonia dan kini mengelilingi bandar Epuyén yang mempunyai 2,000 penduduk.
“Tiada cara untuk menggambarkan apa yang kami lalui. Setiap lima minit api baharu muncul. Ia seperti neraka dunia,” kata seorang penduduk tempatan, Flavia Broffoni, melalui Instagram.
Gabenor wilayah Chubut, Ignacio Torres berkata, lebih 5,500 hektar musnah dan memberi amaran 48 jam akan datang amat kritikal kerana cuaca yang buruk.
Kira-kira 3,000 pelancong dan 15 keluarga dipindahkan, manakala lebih 10 rumah musnah dalam kebakaran itu.
Hampir 500 anggota dikerahkan untuk operasi pemadaman, dengan bantuan tambahan dijangka tiba dari Cordoba dan Chile.
Anggota bomba di Argentina berdepan cabaran besar akibat perubahan iklim, termasuk suhu lebih tinggi dan kelembapan rendah, selain terpaksa menerima gaji rendah susulan pemotongan perbelanjaan kerajaan.
Kebakaran juga aktif di beberapa wilayah Patagonia lain, termasuk Neuquén, Rio Negro dan Santa Cruz. Pada awal 2025, kawasan itu kehilangan 32,000 hektar akibat kebakaran hutan.-AFP










