WASHINGTON: Kapal perang Amerika Syarikat (AS), USS Abraham Lincoln, beserta kumpulan serangan kapal induknya dilaporkan sedang dipindahkan dari Laut China Selatan ke Asia Barat.
Wartawan News Nation di Rumah Putih, Kellie Meyer melaporkan, pergerakan ini berdasarkan sumber yang mengetahui perkara tersebut.
Perkembangan itu berlaku hanya sejam selepas FlightRadar24 melaporkan ruang udara Iran ditutup sebahagiannya. Terdapat juga laporan tidak disahkan mengenai bunyi pesawat jet dari negara jiran, Iraq.
Walau bagaimanapun, menurut Meyer, pergerakan USS Abraham Lincoln dan kumpulan serangan kapal induknya tidak berkaitan dengan sebarang tindakan segera dan dijangka mengambil masa sekitar seminggu untuk diselesaikan.
Pergerakan itu belum disahkan oleh pegawai AS.
Perkembangan ini berlaku ketika ketegangan antara Iran dan AS semakin meningkat.
Ia menunjukkan kehadiran tentera AS yang lebih padat di sekitar Iran berikutan protes berdarah di negara itu, sekali gus menimbulkan spekulasi kemungkinan campur tangan ketenteraan oleh AS.
Pada Rabu, AS meminta kakitangan untuk meninggalkan beberapa pangkalan di Asia Barat namun sebab bagi perubahan itu tidak dinyatakan.
Antara pangkalan yang terlibat termasuk Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar, menurut Reuters.
Menurut beberapa media memetik data Flightradar24, Iran menutup sementara ruang udara di sekitar ibu kota, Teheran sebelum dibuka semula lima jam kemudian. Semua penerbangan, kecuali penerbangan antarabangsa tidak dibenarkan beroperasi di ruang udara Iran.
Sementara itu, syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa mengumukan akan mengelakkan semua ruang udara Iran dan Iraq, lapor AFP.
Lufthansa mengendalikan beberapa jenama di seluruh Eropah dan Asia Barat, termasuk Austrian, Brussels Airlines, Discover, Eurowings, Swiss dan ITA Airways.










