TEHERAN: Pertempuran ganas berlaku antara penunjuk perasaan anti-kerajaan dan pasukan keselamatan di beberapa lokasi di Iran selepas gelombang protes akibat krisis ekonomi terus merebak di lebih 111 bandar di negara itu.
Menurut agensi berita separa rasmi Fars, sekurang-kurangnya 34 penunjuk perasaan dan empat anggota keselamatan terbunuh, termasuk dua polis yang ditembak mati di Lordegan, manakala lebih 2,200 orang ditahan.
Di ibu negara, Teheran, penunjuk perasaan menyalakan api, manakala ribuan lagi menyertai perarakan di bandar-bandar termasuk Borujerd, Arsanjan dan Gilan-e Gharb.
Rakaman daripada bandar selatan Shiraz menunjukkan pasukan keselamatan memandu kenderaan merempuh halangan protes yang membawa papan tanda tertulis ‘Kami memberontak kerana kelaparan’.
Rakaman dari beberapa kawasan lain turut menunjukkan pasukan keselamatan melepaskan tembakan dan gas pemedih mata ke arah orang ramai, yang sebahagiannya membalas dengan lontaran batu.
Ketua Hakim, Gholam-Hossein Mohseni-Ejei memberi amaran tiada toleransi bagi mereka yang membantu musuh menentang kerajaan Iran.
Beliau memberi amaran tindakan akan diambil terhadap individu yang mencetuskan kegelisahan dalam kalangan rakyat, mendakwa mereka bertindak selari dengan kehendak Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
“Jika sesiapa menyertai demonstrasi jalan raya untuk menimbulkan huru-hara atau ketidakamanan, atau menyokong mereka, maka tiada alasan yang diterima. Perkara ini kini menjadi sangat jelas dan telus. Mereka kini bertindak selari dengan musuh Republik Islam Iran,” katanya.
Beliau merujuk kepada kenyataan Presiden AS, Donald Trump yang pada minggu lalu mengancam sekiranya Teheran membunuh penunjuk perasaan aman dengan kekerasan, Washington akan campur tangan untuk menyelamatkan mereka.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada Ahad turut menyatakan sokongan secara terbuka terhadap penunjuk perasaan di Iran, mendakwa rakyat negara itu sedang menentukan nasib mereka sendiri.
Parti Komala, sebuah kumpulan pemisah Kurdish Iran yang berpangkalan di Iraq dan dianggap organisasi pengganas oleh Teheran dilaporkan melancarkan mogok sebagai tanda sokongan terhadap demonstrasi tersebut.-AGENSI










