SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un memuji anggota tenteranya yang bertempur di tanah asing menerusi perutusan Tahun Baharu kepada anggota tentera, sambil menegaskan hubungan pakatan Pyongyang dengan Moscow, lapor media kerajaan pada Khamis.
Tanpa menyebut Ukraine secara langsung, Jong Un menyampaikan mesej kepada anggota yang disifatkan media kerajaan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) sebagai unit operasi luar negara dengan mengucapkan tahniah atas keberanian mereka dalam mempertahankan maruah negara serta menggesa mereka agar terus berani.
“Ketika seluruh negara dalam suasana perayaan menyambut Tahun Baharu, saya semakin teringatkan anggota tentera yang masih berjuang dengan berani di medan pertempuran di tanah asing, setia kepada perintah tanah air.
“Di belakang kamu berdiri Pyongyang dan Moscow,” katanya lagi dalam perutusan tersebut.
Menurut agensi perisikan Korea Selatan dan Barat, Korea Utara menghantar ribuan anggota tentera bagi menyokong pencerobohan Russia ke atas Ukraine yang kini memasuki tahun keempat.
Korea Selatan menganggarkan sekurang-kurangnya 600 anggota Korea Utara terbunuh, manakala ribuan lagi cedera dalam konflik berkenaan.
Penganalisis berpendapat Pyongyang menerima bantuan kewangan, teknologi ketenteraan serta bekalan makanan dan tenaga daripada Russia sebagai balasan.
Perkhidmatan perisikan Korea Selatan turut mendakwa anggota tentera Korea Utara diarahkan membunuh diri sekiranya berdepan risiko ditawan musuh.
Dalam perutusan itu, Jong Un memuji tentera Korea Utara kerana memperkukuh pakatan dengan Russia, sambil menggesa mereka berjuang demi rakyat Russia yang bersaudara.
Sementara itu, dua tawanan perang Korea Utara yang ditahan oleh Ukraine menyatakan hasrat untuk memulakan kehidupan baharu di Korea Selatan, menurut sepucuk surat yang dilihat AFP pada Disember lalu.
Laporan sebelum ini menyebut kedua-dua lelaki itu yang ditahan Kyiv sejak Januari 2025 selepas cedera di medan perang, berhasrat membelot ke Korea Selatan.
Dalam surat berkenaan, mereka mengucapkan terima kasih kepada pihak yang membantu memberi semangat dan melihat situasi ini bukan sebagai satu tragedi, sebaliknya permulaan kepada kehidupan baharu.
“Kami benar-benar percaya bahawa kami tidak pernah bersendirian, dan kami menganggap rakyat Korea Selatan sebagai ibu bapa serta adik-beradik kami sendiri, lalu memutuskan untuk berada dalam pelukan mereka,” tulis kedua-dua tawanan itu. -AFP










