Israel umum buka semula sebahagian lintasan Rafah esok

Israel umum buka semula sebahagian lintasan Rafah esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Israel mengumumkan akan membuka semula lintasan penting Rafah antara Gaza dan Mesir pada Ahad, namun hanya bagi pergerakan individu yang terhad.

Keputusan itu dibuat selepas berbulan-bulan didesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), organisasi kemanusiaan dan rakyat Palestin

Terdahulu pada Jumaat, pergerakan Hamas menyeru peralihan segera ke fasa kedua gencatan senjata Gaza yang sedang diusahakan Amerika Syarikat (AS), termasuk peruntukan untuk membuka semula Rafah serta kemasukan sebuah jawatankuasa Palestin teknokrat bagi mentadbir wilayah itu.

Israel sebelum ini menyatakan keengganan untuk membuka semula pintu masuk tersebut sehingga memperoleh semula mayat tebusan terakhir, Ran Gvili yang ditahan di Gaza.

Gvili ditemui awal minggu ini dan dikebumikan di Israel pada Rabu.

“Lintasan Rafah akan dibuka pada Ahad ini, 1 Februari di kedua-dua arah, bagi pergerakan individu yang terhad sahaja.

“Kemasukan dan keluar akan dibenarkan dengan penyelarasan bersama Mesir, tertakluk kepada kelulusan keselamatan awal individu oleh Israel, serta di bawah penyeliaan misi Kesatuan Eropah (EU),” kata COGAT, sebuah badan Kementerian Pertahanan Israel yang menyelia hal ehwal sivil di wilayah Palestin yang diduduki dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Lintasan yang terletak di sempadan selatan Gaza dengan Mesir itu merupakan satu-satunya laluan keluar masuk Gaza yang tidak melalui Israel.

Ia berada di wilayah yang dikuasai tentera Israel sejak pengunduran mereka ke garisan kuning di bawah terma perjanjian gencatan senjata. Tentera Israel masih mengawal lebih separuh daripada Gaza.

Pintu masuk itu merupakan laluan penting bagi bantuan kemanusiaan, namun ditutup sejak tentera Israel mengambil alih kawalannya pada Mei 2024.

Terdapat pembukaan terhad pada awal 2025 dan usaha-usaha terdahulu untuk membukanya semula gagal direalisasikan.

Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Farhan Haq menyambut baik secara berhati-hati rancangan pembukaan semula itu pada taklimat harian PBB.

“Kami pastinya berharap Rafah juga akan dibenarkan untuk pergerakan kargo,” katanya.

“Pemulihan pergerakan kargo melalui lintasan Rafah adalah kritikal untuk meningkatkan jumlah bekalan kemanusiaan yang masuk ke Gaza dan seterusnya memperluas skala tindak balas kemanusiaan.

“Bagi mereka yang berlepas, kami telah berulang kali menegaskan sesiapa yang memilih untuk keluar atau kembali mesti dapat berbuat demikian secara sukarela dan selama,” katanya.

Gencatan senjata Gaza yang rapuh berkuat kuasa sejak 10 Oktober.

Pelan yang digariskan oleh Presiden AS, Donald Trump untuk menamatkan perang itu memperuntukkan pembukaan semula lintasan berkenaan selepas semua tebusan yang ditahan Hamas dibebaskan atau dipulangkan ke Israel.

Sebelum pengumuman Israel itu, Presiden Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), Mirjana Spoljaric menggesa masyarakat antarabangsa supaya memanfaatkan momentum yang dijana oleh fasa pertama perjanjian antara Israel dan Hamas untuk segera memperbaiki keadaan kemanusiaan yang amat buruk di Gaza.

Menurut Spoljaric, ini termasuk Israel melonggarkan sekatan kemasukan bahan dan peralatan dwiguna, seperti paip air dan penjana, bagi memulihkan infrastruktur asas.

Keadaan kemanusiaan di wilayah yang menempatkan lebih dua juta penduduk itu kekal parah, dengan sebahagian besar penduduk terpaksa berpindah dan ramai yang tinggal di khemah dengan kemudahan sanitasi yang sangat terhad, di tengah cuaca musim sejuk yang mencabar.

Washington sebelum ini mengumumkan perjanjian gencatan senjata telah memasuki fasa kedua dengan penamaan jawatankuasa Palestin teknokrat yang akan menyelia pentadbiran harian wilayah yang musnah itu.

Pembukaan semula Rafah dijangka membolehkan kemasukan badan 15 anggota itu, dikenali sebagai Jawatankuasa Kebangsaan Pentadbiran Gaza, yang bertanggungjawab kepada Lembaga Keamanan Trump.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×