Iran makin tegang, Israel dakwa siap siaga campur tangan AS

Iran makin tegang, Israel dakwa siap siaga campur tangan AS

TANGKAP layar video menunjukkan penunjuk perasaan menyalakan api dan menyekat kawasan jalan di Teheran, Iran.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Keadaan di Iran semakin tegang dengan kematian dilaporkan meningkat kepada 115 orang selepas protes ganas berterusan melibatkan jumlah penunjuk perasaan yang lebih besar.

Penunjuk perasaan di Iran dilaporkan meneruskan demonstrasi besar-besaran di jalan-jalan raya walaupun kerajaan melancarkan tindakan keras dalam tempoh tiga hari lalu.

Video yang disahkan BBC menunjukkan kerajaan sedang meningkatkan tindak balasnya, sambil meneruskan sekatan internet di seluruh negara.

Menurut pemantau Netblocks, sekatan internet yang dibuat pihak berkuasa sudah melebihi 60 jam.

Tindakan penapisan ini dianggap sebagai ancaman langsung terhadap keselamatan dan kesejahteraan rakyat Iran pada saat penting bagi masa depan negara itu.

Peguam Negara Iran, Mohammad Movahedi Azad berkata, sesiapa yang mengambil bahagian dalam protes berkenaan akan dianggap sebagai ‘musuh Tuhan’ dan menjadi satu kesalahan yang boleh dihukum mati.

Menurut sebuah kumpulan hak asasi manusia, lebih 2,500 orang ditahan sejak protes bermula pada 28 Disember.

Video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan orang ramai berkumpul dalam jumlah besar untuk menyertai protes baharu di beberapa bandar Iran, termasuk ibu negara Teheran dan Mashhad di timur, di mana imej menunjukkan puluhan kenderaan dibakar.

Seorang pekerja sosial Iran yang menghadiri protes di Teheran pada Jumaat berkata, keadaan bertukar menjadi ‘mimpi ngeri’ apabila pihak berkuasa menyerang para penunjuk perasaan.

Speaker Parlimen Iran, Mohammad Baqer Qalibaf memberi amaran akan menyerang sasaran ketenteraan dan perkapalan Amerika Syarikat (AS) sekiranya berlaku serangan baharu ketika negara itu berdepan gelombang protes berterusan.

Beliau turut menegaskan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebarang serangan oleh Washington akan mendorong Teheran bertindak balas dengan menyerang Israel serta pangkalan tentera AS di rantau in.

“Sekiranya berlaku serangan ketenteraan oleh AS, kedua-dua wilayah yang diduduki serta pusat ketenteraan dan perkapalan AS akan menjadi sasaran sah kami,” kata Mohammad Bagher dalam kenyataan yang disiarkan oleh televisyen kerajaan.

Protes itu tercetus susulan kenaikan inflasi dan kini merebak ke lebih 100 bandar dan pekan di setiap wilayah di Iran. 

Para penunjuk perasaan kini menuntut agar pemerintahan ulama oleh Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dihentikan.

Khamenei menafikan tuntutan itu dan menyifatkan para penunjuk perasaan sebagai ‘sekumpulan perosak’ yang hanya mahu ‘menggembirakan’ Trump.

ISRAEL SIAP SIAGA

Sementara itu, sumber berkata, turut Israel berada dalam keadaan berjaga-jaga tinggi berikutan kemungkinan campur tangan AS bagi menyokong gerakan protes anti rejim di seluruh Iran.

Trump beberapa kali mengancam untuk campur tangan dalam beberapa hari kebelakangan ini dan memberi amaran kepada pemerintah Iran supaya tidak menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan. 

Pada Sabtu, Trump berkata, AS bersedia untuk ‘membantu’.

Sumber yang hadir dalam perbincangan keselamatan Israel hujung minggu lalu tidak menjelaskan secara terperinci maksud keadaan berjaga-jaga tinggi secara praktikal. 

Israel dan Iran pernah berperang selama 12 hari pada Jun lalu, di mana AS menyertai rejim itu dalam melancarkan serangan udara.

Dalam satu panggilan telefon pada Sabtu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio membincangkan kemungkinan campur tangan AS di Iran, menurut seorang sumber yang hadir dalam perbualan itu. 

Seorang pegawai AS mengesahkan kedua-dua pemimpin itu berbual, tetapi tidak mendedahkan topik perbincangan mereka.

Israel belum menandakan hasrat untuk campur tangan di Iran ketika protes semakin meluas, dengan ketegangan antara kedua-dua musuh tegar itu semakin tinggi berikutan kebimbangan Tel Aviv terhadap program nuklear dan peluru berpandu balistik Teheran.

Dalam satu temu bual dengan The Economist yang diterbitkan pada Jumaat, Netanyahu berkata, Iran akan menghadapi akibat buruk jika menyerang Israel. 

“Segala perkara lain, saya rasa kita perlu melihat apa yang sedang berlaku di dalam Iran,” katanya merujuk kepada protes yang sedang berlaku.

Putera Mahkota Iran dalam buangan, Reza Pahlavi dilaporkan turut memuat naik video menyokong kumpulan penunjuk perasaan untuk terus berdemonstrasi di dalam dan luar negara.-AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×