BAITULMUQADDIS: Agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi pelarian Palestin (UNRWA) pada Ahad memaklumkan ibu pejabatnya yang sebahagiannya dirobohkan di Baitulmuqaddis Timur minggu lalu, kini telah dibakar.
Pihak UNRWA bagaimanapun tidak memperincikan punca kejadian di premis berkenaan yang sebelum ini dirampas dan mula dirobohkan oleh pihak berkuasa Israel minggu lalu selepas organisasi itu diharamkan daripada beroperasi di lokasi berkenaan sejak tahun lalu.
“Selepas diserbu dan dirobohkan oleh pihak berkuasa Israel, Ibu Pejabat UNRWA di Baitulmuqaddis Timur kini dibakar pula,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.
UNRWA menyifatkan insiden kebakaran tersebut sebagai sebahagian daripada percubaan berterusan untuk melenyapkan status pelarian Palestin.
Pasukan bomba dan penyelamat yang tiba di lokasi pada awal pagi Ahad mengesahkan sedang berusaha memadamkan kebakaran bagi mengelakkan api daripada merebak, namun turut tidak mendedahkan punca kejadian.
PBB sebelum ini mengecam tindakan rampasan dan perobohan premis tersebut minggu lalu. Jurucakap UNRWA, Jonathan Fowler,menegaskan, aset agensi tersebut masih dilindungi di bawah hak keistimewaan dan imuniti PBB.
“Seperti mana-mana negara anggota PBB di dunia, tanpa pengecualian, Israel mempunyai kewajipan undang-undang untuk melindungi dan menghormati kemudahan PBB,” katanya.
Kompaun di Baitulmuqaddis Timur itu sudah dikosongkan sejak Januari 2025 selepas undang-undang yang mengharamkan operasi agensi itu dikuatkuasakan.
Israel menuduh UNRWA memberi perlindungan kepada anggota Hamas. Beberapa siasatan mendapati wujud isu berkaitan prinsip berkecuali dalam agensi itu, namun Israel tidak mengemukakan bukti muktamad bagi menyokong dakwaan tersebut.
UNRWA, yang ditubuhkan khas untuk membantu ratusan ribu rakyat Palestin yang diusir semasa pembentukan negara Israel pada 1948, masih meneruskan operasi di Tebing Barat yang diduduki dan Semenanjung Gaza bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan serta pendidikan kepada pelarian. -AFP










