WASHINGTON: Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) mengekalkan kadar faedah pada mesyuarat dasar pertamanya tahun ini memetik pertumbuhan ekonomi yang kukuh, sekali gus menolak tekanan berterusan Presiden, Donald Trump yang mahukan pengurangan kadar.
Sejak kembali ke Rumah Putih, Trump dilaporkan meningkatkan serangannya terhadap Fed, termasuk usaha menyingkirkan seorang pegawai kanan kepimpinan bank pusat itu yang menurut Pengerusi Fed, Jerome Powell berpotensi menjadi kes undang-undang paling penting dalam sejarah institusi berkenaan.
Fed mengundi 10-2 untuk mengekalkan kadar faedah dalam lingkungan 3.5 peratus hingga 3.75 peratus, satu keputusan yang dijangka secara meluas ketika para pegawai menunggu lebih banyak data mengenai ekonomi terbesar dunia itu.
Dalam satu kenyataan, penggubal dasar menyatakan aktiviti ekonomi terus berkembang pada kadar yang kukuh, manakala kadar pengangguran menunjukkan beberapa tanda semakin stabil.
Namun, dua ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) tidak bersetuju dengan keputusan itu.
Gabenor Fed, Stephen Miran dan Christopher Waller yang kedua-duanya dilihat sebagai calon berpotensi menggantikan Powell menyokong pengurangan kadar sebanyak suku mata peratusan.
Fed sebelum ini melaksanakan pemotongan kadar suku mata pada tiga mesyuarat dasarnya yang lalu, ketika kebimbangan terhadap pasaran buruh yang semakin perlahan.
Miran, yang baru dilantik oleh Trump untuk penggal yang berakhir bulan ini, sebelum ini mendesak pemotongan yang lebih besar dalam setiap mesyuarat.
Namun, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh, kadar pengangguran yang stabil secara relatif dan inflasi memberikan alasan kepada pegawai untuk menghentikan sementara pemotongan kadar, sekali lagi meletakkan Fed bertentangan dengan Trump yang berulang kali menggesa kadar faedah diturunkan.
Para penggubal dasar turut memberi amaran tindakan Trump berpotensi mengancam kebebasan Fed daripada pengaruh politik.
Powell bagaimanapun menegaskan dalam sidang media pada Rabu, beliau tidak percaya kebebasan bank pusat itu akan terhakis.
Trump sebelum ini berusaha menyingkirkan Gabenor Fed, Lisa Cook berhubung dakwaan penipuan gadai janji, manakala pentadbirannya turut melancarkan siasatan terhadap Powell berkaitan kerja-kerja pengubahsuaian ibu pejabat Fed.
“Buat masa ini Fed akan membiarkan data ekonomi menerangi hala tuju dasar kadar faedah pada masa depan. Saya menjangkakan kesan inflasi akibat tarif akan memuncak pada suku pertengahan tahun ini, namun perkara itu sukar diramal dengan tepat,” kata Powell.-AFP











