CARACAS: Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan lesen am yang membenarkan syarikat-syarikat AS berdagang dengan firma minyak negara Venezuela, PDVSA, hanya sejam selepas penggubal undang-undang di Caracas meluluskan pembukaan industri minyak kepada pelaburan swasta.
Menurut lesen tersebut, aktiviti yang dibenarkan termasuklah kerja-kerja penapisan minyak mentah.
Pemangku Presiden Venezuela, Delcy Rodriguez, menyifatkan reformasi tersebut sebagai satu lonjakan bersejarah ketika berucap di hadapan pekerja industri minyak negara itu.
“Kita sedang mengambil langkah yang bersejarah,” kata Rodriguez selepas mengadakan panggilan telefon dengan Presiden AS, Donald Trump, yang turut mengumumkan pembukaan semula ruang udara Venezuela.
Trump memberi tekanan kepada Caracas untuk membuka lapangan minyaknya kepada pelabur AS selepas penggulingan seteru sosialisnya, Nicolas Maduro dalam satu serbuan oleh tentera AS pada 3 Januari lalu.
Presiden AS itu menyokong pelantikan Rodriguez yang merupakan timbalan kepada Maduro sebelum ini, dengan syarat beliau memberikan Washington akses kepada rizab minyak terbukti yang terbesar di dunia.
Rodriguez dilihat sangat bersedia untuk memenuhi tuntutan tersebut dengan berhujah kemasukan modal asing amat diperlukan bagi memulihkan ekonomi Venezuela yang kini dalam keadaan teruk.
Reformasi yang diterima pakai pada Khamis itu membuka jalan kepada kembalinya syarikat gergasi tenaga AS, dua dekad selepas pemimpin sosialis terdahulu, Hugo Chavez, merampas lapangan minyak milik asing.
Langkah ini mengubah undang-undang bertarikh 2006 yang sebelum ini mewajibkan pelabur asing membentuk usaha sama dengan syarikat minyak negara, PDVSA, yang menuntut pegangan saham majoriti.
Ketua Parlimen, Jorge Rodriguez yang juga abang kepada pemangku presiden baharu itu menyatakan, reformasi berkenaan akan membantu negara pulih selepas bertahun-tahun hidup di bawah sekatan AS.
“Hanya perkara baik akan menyusul selepas segala penderitaan ini,” katanya ketika meluluskan undang-undang tersebut yang disifatkan demi sejarah dan masa depan.
Trump secara terbuka menyatakan Washington kini ‘berkuasa’ ke atas Venezuela dan Rodriguez akan menyerahkan berjuta-juta tong minyak untuk dijual pada harga pasaran.-AGENSI










