SNOHOMISH: Washington kini berdepan banjir terburuk dalam tempoh beberapa tahun apabila hujan lebat berterusan menenggelamkan sejumlah kawasan di barat laut negaeri itu, sekali gus mencetuskan amaran krisis berpanjangan oleh pihak berkuasa negeri.
Gabenor Washington, Bob Ferguson memberi amaran penduduk negeri itu perlu bersedia menghadapi minggu dan bulan yang sukar berikutan keadaan banjir yang masih belum menunjukkan tanda-tanda reda.
Katanya, situasi semasa amat menekan bagi ramai penduduk, khususnya di kawasan rendah dan berhampiran sungai, ketika hujan lebat berpanjangan terus memburukkan lagi keadaan.
Amaran itu dikeluarkan ketika penduduk serta pasukan kecemasan di beberapa bandar sepanjang Sungai Skagit bersiap sedia menghadapi kemungkinan empangan pecah akibat paras air yang meningkat secara mendadak.
Tentera Pengawal Kebangsaan telah dikerahkan bagi membantu operasi menyelamat dan pemindahan penduduk selepas beberapa hari Washington dilanda hujan lebat luar biasa dan banjir besar.
Fenomena cuaca ekstrem itu dikaitkan dengan siri ribut dikenali sebagai “sungai atmosfera”, iaitu arus udara berskala besar yang membawa kandungan lembapan tinggi dari lautan ke wilayah Barat Laut Pasifik.
Selain Washington, kawasan di Idaho utara dan Montana barat turut terjejas, dengan pihak berkuasa tempatan mengeluarkan amaran banjir besar, menutup sekolah serta perkhidmatan awam, sementara ribuan penduduk dipindahkan dan kerosakan infrastruktur dilaporkan meluas.










