Ukraine sedia pelan damai baharu, Zelensky tolak serah wilayah

Ukraine sedia pelan damai baharu, Zelensky tolak serah wilayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Ukraine sedang bersiap sedia membentangkan pelan damai yang dipinda kepada Rumah Putih, ketika negara itu berusaha mengelak daripada membuat konsesi wilayah kepada Russia.

Kyiv dijangka mencadangkan alternatif kepada Amerika Syarikat (AS) selepas Presiden, Volodymyr Zelensky sekali lagi menegaskan beliau tidak akan menyerahkan wilayahnya kerana tiada hak untuk berbuat demikian menurut undang-undang Ukraine atau undang-undang antarabangsa.

Beliau membuat kenyataan itu ketika bertemu pemimpin Eropah dan NATO sebagai sebahagian usaha kolektif untuk menghalang AS daripada menyokong perjanjian damai yang merangkumi konsesi besar untuk Ukraine.

Sekutu kyiv khuatir ia akan menjadikan negara itu terdedah kepada pencerobohan pada masa hadapan.

Sementara itu, bandar Sumy di utara-barat Ukraine terputus bekalan elektrik semalaman susulan serangan dron Russia.

Gabenor wilayah itu berkata, lebih 12 dron menyerang infrastruktur tenaga, menjadikannya serangan terbaharu Russia yang dilakukan setiap malam namun, tiada kematian dilaporkan.

Lawatan diplomatik Zelensky ke Eropah berlangsung selepas beberapa hari rundingan intensif antara perunding AS dan Ukraine hujung minggu lalu, yang gagal menghasilkan perjanjian yang boleh diterima Kyiv.

Zelensky dijadualkan menerima taklimat mengenai sidang kemuncak sulit itu daripada Ketua Perundingnya, Rustem Umerov, dan memberitahu sidang media, pasukannya boleh menghantar cadangan baharu kepada pihak AS seawal Selasa, menurut agensi berita AFP.

“Russia menuntut supaya kami menyerahkan wilayah, tetapi kami tidak mahu melepaskan apa-apa.

“Kita tiada hak undang-undang untuk berbuat demikian, menurut undang-undang Ukraine, perlembagaan kita dan undang-undang antarabangsa. Kami juga tiada hak moral,” katanya.

Zelensky menegaskan, sebarang perubahan sempadan Ukraine perlu mendapat kelulusan melalui referendum awam.

Beliau menekankan kawalan ke atas wilayah Donbas di timur dan loji kuasa nuklear Zaporizhzhia sebagai antara isu yang paling sensitif.

Versi awal pelan yang dibocorkan dan disokong AS mencadangkan Ukraine menyerahkan kawalan sepenuhnya ke atas Donbas kepada Russia, walaupun tentera Kremlin masih gagal menguasainya selepas hampir empat tahun peperangan.

Tenaga yang dihasilkan di Zaporizhzhia, loji kuasa nuklear terbesar di Eropah dicadangkan dibahagikan antara Russia dan Ukraine, menurut draf pelan itu.

Para pemimpin di Kyiv dan seluruh Eropah menunjukkan terdapat kemajuan dalam meminda draf tersebut dan memuji pentadbiran Trump kerana berusaha menjadi perantara untuk menamatkan konflik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN