WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Selasa mengeluarkan amaran mana-mana negara yang dipercayai menghasilkan dadah untuk diseludup secara haram ke AS berisiko menjadi sasaran serangan ketenteraan.
Kenyataan itu dibuat ketika sesi soal jawab di Rumah Putih di mana Trump turut berkata bahawa serangan ketenteraan terhadap sasaran di darat dalam wilayah Venezuela yang dituduhnya terlibat dalam keganasan narko akan bermula segera.
Sesi dengan wartawan itu selepas mesyuarat kabinet yang panjang di mana Trump dan Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth menyerahkan tanggungjawab kepada seorang laksamana tentera laut berhubung pembunuhan tanpa proses undang-undang terhadap dua mangsa yang terselamat dalam serangan ke atas sebuah bot yang didakwa menyeludup dadah pada September.
Apabila ditanya sama ada Venezuela sahaja yang menjadi sasaran Pentagon, Trump berkata mana-mana negara yang menghasilkan dadah untuk diseludup dianggap sebagai sasaran sah, mengulangi retorik keras yang sebelum ini disasarkan kepada Mexico.
“Jika ia datang melalui sesuatu negara, atau mana-mana negara, atau jika kita yakin mereka membina kilang sama ada untuk fentanyl atau kokain, sesiapa yang melakukan itu dan menjualnya ke negara kita tertakluk kepada serangan. Bukan Venezuela sahaja,” katanya, sambil menambah bahawa beliau ‘mendengar’ Colombia menghasilkan kokain dan ‘memiliki kilang kokain.
Trump kemudian menegaskan tindakan ketenteraan dalam Venezuela sangat hampir, memburukkan lagi konflik yang pada awalnya melibatkan serangan ke atas kapal yang dikenal pasti pentadbirannya sebagai terlibat dalam penyeludupan dadah tanpa bukti didedahkan kepada umum dan kini berisiko berkembang menjadi konflik serantau.
“Kami akan mula melakukan serangan di darat juga. Anda tahu, serangan di darat jauh lebih mudah dan kami tahu laluan yang mereka gunakan. Kami tahu segala-galanya tentang mereka, di mana mereka tinggal, di mana penjenayah itu berada dan kami akan mulakan itu tidak lama lagi,” katanya.
Dalam mesyuarat kabinet itu, Hegseth memberikan kenyataan bercanggah mengenai tindakannya selepas serangan berganda pada 2 September terhadap bot yang didakwa menyeludup dadah yang kini sedang disiasat oleh jawatankuasa perkhidmatan bersenjata di Dewan dan Senat sebagai kemungkinan tindakan tidak sah.
Hegseth berkata, beliau menonton serangan pertama itu tetapi akhirnya tidak menunggu sejam atau dua jam selepas itu, tempoh di mana dua mangsa terselamat yang berpaut pada bot tersebut ditembak dalam serangan kedua dan terbunuh.
Kenyataan itu bercanggah dengan komentarnya kepada Fox News sehari selepas serangan tersebut, di mana beliau berkata menyaksikan keseluruhan operasi secara langsung. -AGENSI










