Trump mahu terus usir pendatang di AS tahun depan - Utusan Malaysia

Trump mahu terus usir pendatang di AS tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bersiap sedia melaksanakan tindakan keras imigresen yang lebih agresif pada 2026 dengan peruntukan dana baharu berjumlah berbilion dolar.

Tindakan itu termasuk memperluaskan serbuan di lebih banyak tempat kerja walaupun bantahan politik semakin memuncak menjelang pilihan raya pertengahan penggal tahun hadapan.

Trump sebelum ini meningkatkan penempatan ejen imigresen di bandar-bandar utama AS yang menjalankan operasi di kawasan kejiranan dan bertembung dengan penduduk setempat.

Walaupun ejen persekutuan tahun ini melaksanakan beberapa serbuan berprofil tinggi ke atas perniagaan, mereka sebahagian besarnya mengelak daripada menyerbu ladang, kilang dan perniagaan lain yang penting kepada ekonomi tetapi diketahui menggaji pendatang tanpa status sah.

Agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) serta Pengawal Sempadan dijangka menerima tambahan dana sebanyak AS$170 bilion (RM693 bilion) sehingga September 2029, peningkatan besar berbanding bajet tahunan sedia ada AS$19 bilion (RM77.5 bilion) selepas Kongres yang dikuasai Parti Republikan meluluskan pakej perbelanjaan besar pada Julai lalu.

Pegawai pentadbiran berkata mereka merancang untuk mengambil ribuan ejen tambahan, membuka pusat tahanan baharu, menahan lebih ramai pendatang di penjara tempatan serta bekerjasama dengan syarikat luar untuk menjejaki individu tanpa status sah.

Pelan pengusiran yang diperluaskan itu diumumkan walaupun terdapat tanda-tanda bantahan politik yang semakin meningkat menjelang pilihan raya pertengahan penggal tahun depan.

Miami, antara bandar yang paling terkesan oleh tindakan keras Trump berikutan populasi pendatang yang besar, minggu lalu memilih Datuk Bandar daripada Parti Demokrat buat kali pertama dalam hampir tiga dekad.

Datuk Bandar terpilih itu berkata, keputusan berkenaan sebahagiannya merupakan reaksi terhadap presiden.

Pilihan raya tempatan lain serta tinjauan pendapat turut menunjukkan kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan pengundi yang berwaspada terhadap taktik imigresen agresif.

Tahap kelulusan keseluruhan Trump terhadap dasar imigresen dilaporkan merosot daripada 50 peratus pada Mac, sebelum beliau melancarkan tindakan keras di beberapa bandar utama AS, kepada 41 peratus pada pertengahan Disember bagi isu yang sebelum ini dianggap kekuatan utamanya.

Kebimbangan awam yang semakin meningkat turut tertumpu kepada tindakan ejen persekutuan bertopeng yang menggunakan taktik agresif, termasuk penggunaan gas pemedih mata di kawasan perumahan dan penahanan warga AS.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN